PH-Warisan Terdesak Sebar Propaganda, Sokongan BN Bakal Bertambah Saat-Saat Akhir – Ab Hamid

KIMANIS, 16 Jan – Pihak lawan disifatkan berada dalam keadaan terdesak apabila memainkan propaganda kononnya sebelas Cawangan UMNO di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Binsuluk telah dibubarkan dan apa yang berlaku itu merupakan satu fitnah menjelang hari-hari pengundian.

UMNO Pahang yang merupakan negeri angkat di PDM berkenaan turut terpanggil untuk menyatakan perkara yang sebenar.

Menurut Setiausaha Badan Perhubungannya Datuk Seri Ab Hamid Mohd Nazahar berkata, perkara berkenaan tidak mengejutkan dan dakwaan yang sedemikian rupa sekadar satu kebiasaan ketika musim kempen pilihan raya.

Bahkan tegasnya, fakta yang sebenar adalah 13 Cawangan UMNO PDM tersebut beroperasi seperti biasa.

“Sepanjang kami berada di sini, kita lihat bahawa semangat mereka cukup baik dan tidak ada pula kita dengar cawangan di sini dibubarkan malahan pemimpin veteran kembali datang ke bawah khemah kita memberikan sokongan.

“Yang saya dengar cerita sebelum ini ‘Clinton’ (Pengiran Yusuf Pengiran Abdullah) yang keluar Warisan, dan bukannya orang keluar daripada BN. Jadi anggaplah ianya satu fitnah untuk menunjukkan bahawa mereka cuba mendapatkan sokongan daripada pengundi-pengundi daripada PDM Binsuluk.

“Sebenarnya sejarah telah membuktikan bahawa PDM Binsuluk ini majoritinya adalah penyokong tegar BN. Saya yakin dengan semangat yang ditunjukkan oleh pengundi sejak kebelakangan ini bahawa majoriti kemenangan di PDM ini akan terus meningkat dan menyokong calon BN. Malahan hari ini Datuk Seri Anifah Aman telah turun sendiri ke PDM ini untuk bertemu dengan rakan-rakan lamanya dan pengundi,” katanya kepada UMNO-Online ketika ditemui di Bilik Gerakan PDM.

Turut bersama-sama dengannya pimpinan Cawangan UMNO setempat.

Semalam tular dakwaan yang mengatakan kononnya 11 cawangan UMNO di PDM Binsuluk dibubarkan.

Ab Hamid seterusnya mengharapkan jentera parti agar dapat terus berkempen dan berwaspada mungkin di saat-saat akhir akan berlaku provokasi dan sebagainya.

“Kepada jentera parti kita kena kerja berterusan kerana kita yakin di saat-saat akhir mungkin ada provokasi-provokasi… paling penting mungkin akan ada juga usaha-usaha untuk melemahkan jentera dan pengundi….

“Tetapi daripada apa yang saya tengok mereka merasakan bahawa mereka kena pastikan masa depan keluarga, masa depan negara lebih penting daripada segala-galanya. Jadi kita harus bertekad untuk menangkan calon kita, Datuk Mohamad Alamin,” tambahnya lagi. – UMNO Online