Orang Muda Lihat Autonomi UMNO Sabah Baik Untuk Parti Dan Rakyat – Ghazali

KIMANIS, 16 Jan – Ketua UMNO Tawau, Ghazali Ansing berkata autonomi UMNO Sabah merupakan sesuatu yang cukup baik dan perkara yang amat baharu sekaligus memberi kelebihan dan juga manfaat yang cukup besar bukan sahaja kepada parti malah kepada rakyat negeri itu sendiri.

Menurut beliau selaku orang muda langkah berkenaan adalah satu perkara yang amat dialu-alukan dan autonomi tersebut yang dilaksanakan semasa pemilihan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis membuktikan ianya bukan sekadar retorik.

“Selaku orang muda kita melihat autonomi UMNO Sabah adalah sesuatu yang amat baik dan sesuatu yang sangat baru yang mana selepas ini apabila BN diberikan peluang untuk memerintah negeri kita diberikan kuasa penuh untuk mentadbir tanpa campur tangan persekutuan. Ya…mungkin boleh menasihati tetapi secara muktamadnya diputuskan di peringkat negeri.

“Calon pilihan raya Kimanis diputuskan oleh UMNO Sabah dan BN Sabah tanpa campurtangan daripada pusat. Kalau kita lihat apa yang kita nampak dengan adanya autonomi yang diberikan kepada UMNO Sabah kita yakin kita dapat kebali memakmurkan Sabah ini jika diberikan peluang sekali lagi untuk memerintah sebab segala tuntutan MA63 akan ditunaikan,” katanya kepada UMNO-Online.

Tambahnya lagi jika kita diberikan peluang tentunya salah satu yang akan diminta ‘Malaysia Agreement’ itu dibukukan dan dimaktubkan di dalam Perlembagaan Malaysia itu sendiri.

Dalam pada itu beliau sekali lagi menyeru kepada pengundi-pengundi di Kimanis agar memberikan kepercayaan kepada calon BN, Datuk Mohamad Alamin dalam usaha untuk menunjukkan ketidakpuasa hati terhadap kerajaan negeri dan juga pusat.

“Kepada pengundi Kimanis, undilah calon BN bagi menunjukkan kepada kerajaan yang ada pada hari ini yang mana kerajaan pimpinan Warisan tidak berlaku adil kepada kita. Contoh isu Pas Sementara Sabah (PSS) kita harus menentang sekeras-kerasnya.

“Kemenangan BN walaupun tidak mengubah apa-apa dari segi struktur, kedudukan di dalam Dewan rakyat tetapi kita harus tunjukkan ini adalah referendum rakyat kepada kerajaan yang ada pada hari ini yang sangat tidak adil.

“Kerajaan PH dan Warisan hari ini bukan lagi kita boleh jelas, malah sejelas-jelasnya sebuah kerajaan yang tiada hala tuju dan mereka tidak tahu hala tuju untuk membawa Sabah ini ke mana, negara kita ini ke mana dan kalau kita lihat pada hari ini semua manifesto yang mereka buat untuk penduduk Sabah semuanya hanyalah momokan semata-mata.

“Kalau dulu ‘Sabah For Sabahan’ itu seringkali dilaungkan tetapi apa yang berlaku hari ini Sabah itu kononnya diorang punya. Sabah ini adalah milik semua bukan sahaja rakyat Sabah rakyat Malaysia,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.