Cawangan UMNO Bubar? “Autalah.. Itu Cerita Kosong”

KIMANIS, 16 Jan – Cerita-cerita mengenai kononnya 11 cawangan UMNO di Pusat Daerah Mengundi Binsuluk (PDM) bubar terus terjawab lagi apabila mereka yang menjadi peneraju di Cawangan Binsulu tampil menceritakan perkara yang sebenarnya.

Rata-rata mereka yang ditemui menyifatkan apa yang digembar-gemburkan itu bukan sahaja tidak betul malah dilihat sebagai strategi pihak lawan untuk melemahkan jentera Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang akan diadakan Sabtu ini.

Ketua UMNO Cawangan Kg Kuala Lama Binsulok, Haji Musa Haji Bakar berkata apa yang didakwa itu langsung tidak betul kerana nama cawangan yang disebutkan sepertimana yang tular tidak betul.

“Apa yang didakwa oleh mereka bahawa cawangan saya telah dibubarkan tidak betul sedangkan saya masih lagi Ketua UMNO Cawangan dan semua ahli masih berada bersama dan jentera bergerak seperti biasa. Tidak ada pembubaran dan masih wujud.

“Gerakan kempen masih berjalan dan ahli di cawangan saya masih melaksanakan gerak kerja Jalinan Rakyat dan sebagainya. Masih berjalan…semangat masing-masing kuat,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Sementara itu bagi Abd Razak Musrin yang merupakan Setiausaha (S/U) UMNO Cawangan Kg Tuntung melihat perkara berkenaan sebagai cerita kosong semata-mata dan memalukan.

“Apa yang saya nampak di situ ‘autalah’…semua itu kosong dan selama saya di sini tidak pernah berlaku kes macam tu. Sebagai S/U Cawangan Kg Tuntung tidak pernah nampak ahli keluar parti dan kekal.. Itu cerita kosong.

“Nama cawangan UMNO kami Kg Tuntung dan apa yang tular itu tipu. Semua tipu. Mereka buat nama itu tidak ada dalam mana-mana cawangan. Operasi kita Alhamdulillah, sokongan kita masih padu dan tidak berganjak. Jentera berjalan macam biasa dan kita tidak goyang,” ujarnya.

Tambahnya lagi apa yang ditimbulkan oleh pihak lawan itu hanya provokasi sahaja supaya orang-orang BN merasa gementar sedikit terutama daripada kawasan luar Binsuluk ini.

“Sebab pagi tadi pun kawasan saya telefon bertanyakan hal ini. Betul ka Binsuluk sudah lari 11 cawangan dan saya mengatakan tidak ada…kita masih kukuh. Cerita itu diada-adakan. Kenyataannya kita Alhamdulillah masih kukuh,” katanya.

Manakala Pemangku Ketua UMNO Cawangan Binsuluk, Faridah Ahmad turut bersependapat dan menepis apa yang diwar-warkan dan berlegar di Kimanis hari ini.

“Apa yang diwar-warkan itu sebenarnya tidak benar dan yang keluar cuma ketua cawangan sahaja. Itu pun sudah lama.

“Kempen masih bergerak seperti biasa dan masih aktif lagi. Dakwaan serta apa yang digembar-gemburkan tidak betul.

“Semangat kami makin berkobar-kobar walaupun diwar-warkan kononnya sudah keluar dan biarlah apa orang cakap, yang penting kami masih bertahan dan berusaha memenangkan calon nombor satu, Datuk Mohamad Alamin dan insya-Allah akan menang,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.