Tolak Propaganda Warisan, UMNO Kimanis Nafi 11 Cawangan Di PDM Binsuluk Bubar


KIMANIS, 15 Jan – UMNO Bahagian Kimanis hari ini menafikan dakwaan 11 cawangannya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Binsuluk ditutup sebaliknya beroperasi seperti biasa malah senarai cawangan yang ditularkan juga tidak betul di PDM berkenaan.

Naib Ketua UMNO bahagian Kimanis, Nasip Ngadiran berkata UMNO di PDM Binsuluk sebenarnya mempunyai 13 cawangan dan hanya satu cawangan sahaja yang dipangku oleh timbalan ketua, manakala yang lain masih dipegang oleh Ketua UMNO cawangan dan masih bergerak seperti biasa.

“Semua cerita berkenaan tidak benar dan semuanya fitnah serta propaganda pihak lawan. 11 cawangan yang disenaraikan oleh mereka ini sebenarnya tidak ada dalam senarai di PDM tersebut. Tiada dalam senarai cawangan UMNO.

“Di sana sebenarnya kita mempunyai 13 cawangan UMNO dan kesemuanya masih aktif. Seperti yang digembar-gemburkan itu tidak benar. Saya dengan ini mengesahkan berita yang diwar-warkan oleh Warisan itu adalah bohong belaka,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Pada masa yang sama beliau juga menjelaskan satu nama cawangan yang seiras iaitu Sri Tutung tetapi nama cawangan yang sebenar adalah UMNO cawangan Kg Sri Tutung.

“Mereka dakwa Sri Tutung tetapi cawangan UMNO yang sebenar adalah UMNO cawangan Kg Tutung. Bererti senarai cawangan yang ditularkan itu adalah palsu dan hanya propaganda Warisan,” tambahnya.

Tambahnya lagi berbaki dua hari berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis menjelang hari pengundian, tidak mustahil pelbagai cerita serta propaganda yang lebih dahsyat akan keluar dan tidak pelik jika lebih daripada apa yang berlaku hari ini.

“Kepada jentera parti setiap PDM kuatkan semangat, komitmen dan terus berjuang sehingga mencapai matlamat yang kita sasarkan iaitu kemenangan calon BN, Datuk Mohamad Alamin untuk Parlimen Kimanis,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.