Rakyat Di Bawah Makin Terasa, Kami Bukan Mahu Racuni Pemikiran – Reezal


KIMANIS, 15 Jan – Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata apa yang dilontarkan dan apa yang dikongsi oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasiona (BN) pada kempen Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis bukanlah untuk menghasut apatah lagi untuk meracuni pemikiran perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, sebenarnya apa yang berlaku adalah rakyat di bawah sebenarnya sudah merasa sengsara dengan suasana yang berbeza setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan hari ini.

“Kerajaan BN benar-benar boleh menjadi pembela kepada rakyat. Bukan saya dan YB (Yang Berhormat) Khairy (Khairy Jamaluddin) datang untuk menghasut rakyat, nak meracuni pemikiran rakyat, bercakap benda-benda yang bohong, kami datang untuk membantu calon tetapi pada waktu yang sama rakyat di bawah memang dah rasa sengsara.

“Sebab itu saya sebutkan soal petani, nelayan dan pelbagai kumpulan lain dan bagaimana hari ini petani tidak mendapat pembelaan seperti dahulu. Dulu bukan sahaja soal wang sara hidup, kita beri subsidi diesel, kita bagi wang pendaratan, enjin-enjin dan banyak lagi.

“Tetapi apabila datang kerajaan yang baru yang hari ini diketuai oleh Pakatan Harapan yang menjadi sebenarnya abang dan penaung kepada kerajaan Warisan, Warisan tidak boleh kata mereka tidak ada kena mengena dengan PH sebab ada tiga menteri dalam PH.

“Warisan ada banyak ahli parlimen di dalam Dewan Rakyat tetapi tidak ada yang bangun datang untuk bercakap membela nasib nelayan dan sebagainya,” katanya pada ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bongawan Selasa malam.

Tambah beliau apa yang dilontarkan itu bukanlah mahu bercakap soal politik tetapi realitinya adalah soal kehidupan.

“Ini bukan nak cakap soal politik. Ini soal kehidupan. Apabila kita menjadi pemimpin perkara ini kita perlu jawab dengan tuhan. Politik tidak apalah. Zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) kenalkan RM200. Datang zaman Datuk Seri Najib naikkan kepada RM300 sebulan elaun nelayan. Setahun akan dapat RM3,600…tambah BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) RM1,200, tambah (bantuan) persekolahan anak-anak…

“Mereka pula janji macam-macam. Sebab itu kita tampil untuk bantu calon kita. Jadi kita nak pastikan kalau nak dengar suara tambahan di parlimen nanti mewakili tuan-tuan, nak pastikan kerajaan yang ada hari ini ada semak dan imbang kita berikan kemenangan kepada calon BN, Datuk Mohamad Alamin Sabtu ini.

“Insya-Allah, dengan kemenangan ini kita akan mulakan dan kita yakin turun dengan penuh istiqamah, tawadhuk, dengan niat hati tidak ada lain untuk membela rakyat dan bukannya mempolitikkan kehidupan rakyat. Kita akan sampaikan isyarat jelas kepada kerajaan negeri satu ‘first lesson’ Kimanis ini adalah milik BN,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.