Peruntukan RM34.8 Bilion, Apa Shafie Buat Untuk Rakyat Sabah?


KIMANIS, 15 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan merasa hairan di mana peruntukan yang diberikan oleh kerajaan dahulu kepada Datuk Seri Mohd Shafie Afdal semasa menjawat jawatan sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebanyak RM34.8 bilion.

Jelas beliau, sewajarnya Shafie harus memanfaatkan peruntukan yang diterima dari Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk pembangunan, kebajikan, bantuan, subsidi dan juga peluang pekerjaan khususnya kepada rakyat Sabah.

“Selama tujuh tahun Shafie Afdal menjadi Menteri KKLW dan beliau menerima peruntukan sebanyak RM 34.8 bilion.

“Tujuan Najib Razak melantik beliau kerana ia mahu orang Sabah membangunkan pembangunan di Sabah dan hanya orang Sabah yang memahami tentang kehendak dan keunikan negeri ini.

“Apabila mendapat RM34.8 bilion, kenapa tidak mengutamakan keperluan rakyat negeri Sabah?,” katanya semasa Diskusi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis anjuran Penerangan UMNO Malaysia, Selasa malam.

Rahman yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa bekas Perdana Menteri itu ada menyebut bahawa keistimewaan ini diberikan kepada Shafie.

“Janganlah kamu cemburu kerana inilah keperluan orang-orang Sabah dan biarlah Shafie mendapat kelebihan dari menteri-menteri yang lain.

“Pada masa yang sama segala projek-projek di bawah RM50 juta boleh diluluskan oleh KKLW tanpa dirujuk oleh Kementerian Kewangan dan hanya diputuskan di peringkat kementeriannya,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, sekarang ini kerajaan Warisan mahu menuntut 80 peratus dari kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Sesuatu yang belum ada dalam tangan yang diharapkan, tetapi semasa menjawat Menteri RM34.8 bilion sudah ada dalam tangan. Kenapa tidak membangunkan Sabah?

“Harapan orang Sabah semasa beliau menjawat jawatan menteri terlalu tinggi termasuk saya sendiri dan negeri-negeri lain pun memahami bajet yang diberikan untuk Sabah itu terlalu tinggi,” katanya.

Terdahulu, Rahman merasa kecewa dan terkilan kerana kerajaan Warisan memainkan sentimen anti Semenanjung semasa kempen PRK Kimanis.

“Sentimen anti Semenanjug adalah tidak begitu sihat… sebagai sebuah negara kita harus bersatu padu.

“Warisan menggunakan isu ini kononnya boleh menaikan semangat orang Sabah menentang kerajaan Persekutuan tetapi Warisan lupa… yang menjadi kerajaan di Semenanjung bukannya Barisan Nasional (BN) tetapi PH, ujarnya.

Tambahnya, sedangkan yang membuat dasar juga terdapat kerajaan Warisan yang mempunyai kedudukan di Persekutuan.

“Maknanya…dia (Shafie Afdal) bergaduh sesama sendiri, ini tidak logik dan orang kampung mengetawakan mereka (Warisan) apatah lagi hubungannya dengan semenanjung begitu rapat sekali,” bidasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.