Kerajaan PH Calarkan Kedaulatan Undang-undang, Integriti Pihak Berkuasa – A’zlan

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT) menggesa agar pihak kerajaan jangan sesekali mencalarkan imej integriti pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan kes yang disabitkan terhadap wakil rakyat dari pihak kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Jelas Pengerusinya, A’zlan Abu Bakar, biar rakyat melihat proses siasatan berlaku dengan adil seperti mana dilalui oleh rakyat biasa sekiranya didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

Katanya, TUNTUT juga menggesa agar proses siasatan ini berlaku dengan cepat dan telus agar dapat membuktikan bahawa kerajaan PH adalah sebuah kerajaan yang bersikap adil terhadap apa jua perbuatan kesalahan mahupun jenayah.

“Amiruddin Shaari digesa untuk mengambil tindakan bagi merehatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil sepanjang tempoh siasatan Polis dijalankan.

“Sudah pasti ini akan mencalarkan imej negeri Selangor itu sendiri yang seolah-olah penagihan dadah sudah semakin berleluasa di Selangor hingga melibatkan individu penting yang memegang tampuk kepimpinan negeri.

“Biarlah rakyat melihat proses siasatan ini berlaku dengan adil seperti mana dilalui oleh rakyat biasa sekiranya didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, kata dalam satu kenyatan kepada UMNO-Online.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai penahanan seorang wakil rakyat PH Selangor berserta 16 yang lain yang dilaporkan terlibat dengan aktiviti parti bebas dan penyalahgunaan dadah baru-baru ini.

Ulasnya juga, harus diingat bahawa jawatan wakil rakyat merupakan pinjaman sementara dari rakyat sementara.

Oleh itu, TUNTUT menegaskan bahawa penglibatan gejala dadah ini bukanlah bersifat terkecuali untuk mana-mana pihak samada ahli-ahli politik mahupun rakyat biasa.

“Kedaulatan undang-undang ini adalah untuk semua pihak di Malaysia. Hukuman setimpal haruslah diambil agar gejala ini tidak berjangkit dengan generasi akan datang.

“Sebagai wakil rakyat juga sekiranya dituduh terlibat dengan dadah hendaklah mengambil tanggungjawab untuk bercuti sementara siasatan sedang dijalankan dan melepaskan jawatan setelah disabitkan salah oleh mahkamah,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.