Daripada Paling Tinggi, Warisan-PH Jadikan Pertumbuhan Sabah Paling Rendah – Najib


KUALA LUMPUR, 15 Jan – Sabah, di bawah pentadbiran kerajaan Warisan-Pakatan Harapan (PH) semakin jatuh ketinggalan kadar pertumbuhannya berbanding negeri-negeri lain, kata bekas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Ulas Najib dalam satu hantaran di Facebook, ini merujuk kepada data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) untuk Sabah telah jatuh dari 8.2% pada tahun 2017 kepada cuma 1.5% tahun lepas, iaitu paling rendah sejak sepuluh tahun yang lalu.

Katanya, kadar pertumbuhan tersebut adalah jauh di bawah purata pertumbuhan KDNK Malaysia sebanyak 4.7% tahun lepas.

“Dalam tempoh saya PM, tidak pernah kadar pertumbuhan Sabah rendah seperti kadar 1.5% ini kerana kerajaan dahulu gigih membangunkan Sabah untuk mengurangkan jurang ekonomi mereka dengan semenanjung Malaysia.

“Buktinya ialah kadar pertumbuhan 8.2% bagi Sabah untuk tahun 2017 adalah tertinggi antara semua negeri di Malaysia masa itu dan lebih tinggi berbanding kadar 5.9% untuk keseluruhan Malaysia.

“Tapi jatuh teruk ke 1.5% di bawah angka 4.7% keseluruhan Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pula,” bidasnya.

Tambahnya lagi, kerajaan PH Sabah tidak boleh tunggu lagi untuk menuntut kerajaan pusat PH menunaikan janji manifesto mereka untuk mengembalikan royalti 20% minyak dan 50% hasil cukai.

“Kalau dah janji, tunaikan sahaja.

“Jangan biarkan Sabah ketinggalan lagi,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.