BN Tidak Pernah Ekstrim, Lebih 60 Tahun Tadbir Malaysia Jadi Bukti – Asyraf


KIMANIS 15 Jan – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa BN tidak pernah ekstrim dalam mentadbir dan berkerajaan selama ini.

Jelas beliau, Malaysia yang BN bina selama lebih 60 tahun tidak pernah mengizinkan rasis seperti yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) melalui Parti Warisan di Sabah sekarang ini.

“BN bersama barisan pembangkang begitu lantang mempertahankan hak Sabah di Parlimen. Bukan seperti pemimpin Sabah seperti sebelah sana yang diam.

“Mereka ini setahun lebih berkuasa sudah lupa daratan, sudah lupa rakyat, mula main sentimen kaum, sentimen etnik. Sabah ini istimewa, dari dulu saya selalu sebut, Sabah ini adalah cerminan rakyat Malaysia.

“Saya pergi rumah ke rumah, singgah di rumah orang Kadazan-Dusun-Murut (KDM), kalau ada anak mereka yang beragama Kristian, mesti ada anak mereka yang beragama Islam juga. Orang Sabah sudah membuktikan tidak ada sensitiviti, Islam Kristian dan pelbagai agama juga etnik boleh hidup dengan aman dan harmoni,” ujar beliau ketika berucap dalam program Pentas Anak Muda di PDM Seladan sempena dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Tambah Asyraf, inilah kekuatan Malaysia, jangan sesekali menggadaikan Malaysia kepada orang yang rasis.

“Baru jadi kerajaaan, lantik orang di kalangan mereka sahaja. Ramai mengadu, dulu zaman BN kita bantu semua tidak tanya mereka sokong BN atau tidak. Ini mereka bantu hanya penyokong mereka. Ini bukan kerajaan tetapi pembangkang bertopengkan kerajaan,” ujar beliau lagi.

Selain Asyraf yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Pentas Pemuda turut menampilkan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Nicole Wong; Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Ir. Khairil Nizam; Ketua Pemuda Pusat PBRS Edwin Laimin dan ramai lagi pemimpin pemuda dari parti pro pembangkang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.