Warisan Hanya Bawa Malapetaka Kepada Sabah – Bung Mokhtar

KIMANIS, 14 Jan – Pegerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata, punca Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis ini diadakan adalah kerana kesalahan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) namun yang terpaksa menanggung akibatnya adalah Datuk Seri Anifah Aman dan juga para pengundi di Kimanis ini.

Namun begitu jelas beliau, hikmah daripada kesalahan SPR ini, warga Kimanis mempunyai sekali lagi peluang untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka kepada kepimpinan kerajaan negeri.

“Pada PRU-14 yang lalu, sebahagian rakyat Sabah telah menyatakan ‘Sabah ubah’ walaupun BN telah melakukan yang terbaik tetapi kerana sentimen yang dibawa oleh Warisan maka sebilangan kerusi BN telah diubah oleh rakyat.

“Kini setelah 19 bulan Warisan memerintah, hanya malapetaka yang dibawa oleh Warisan. Waktu PRU-14, Warisan berjanji memberi peluang pekerjaan kepada anak muda, mereka juga berjanji akan membentang pendapatan jualan kayu balak yayasan Sabah dan duit itu akan dibahagi-bahagi kepada rakyat Sabah, dan mereka juga berjanji akan membina sebanyak mungkin rumah untuk orang miskin.

“Ini baru tiga perkara saya sebut… ada mereka buat? Mereka hanya tahu berbohong dan buat janji. Rumah yang terbakar seluruh Sabah hampir 4,000, satu pun tidak mereka bina. Jadi, kalau ada orang Warisan yang dengar saya cakap ini, kamu fikir-fikirkanlah,” ujar beliau ketika berucap dalam program ceramah Perdana di PDM Membakut malam tadi.

Tambah Bung Mokhtar, selain itu, Warisan juga menambah kesengsaraan rakyat apabila mereka mahu melaksanakan Pas Sementara Sabah (PSS).

“Habis kita lingkup semua… inilah malapetaka yang menanti orang Sabah. Sebab itu kita harus menolak Warisan di Kimanis ini,” tegas beliau.

Di pentas yang sama bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman berkata, apa yang paling menyedihkan adalah apabila SPR tidak menjalankan tugas dengan baik.

“Bukan mereka tidak tahu menjalankan tugas tetapi ‘ada udang di sebalik batu’ dan ada pemimpin Warisan yang mahu melihat saya digugurkan kerana mereka tidak mahu saya lantang bersuara mengkritik kepimpinan Warisan Sabah.

“Ada juga yang bertanya kenapa saya tidak mahu bertanding semula, ini kerana saya hilang kepercayaan kepada SPR. Inilah yang menyebabkan saya tidak mahu bertanding.

“Ada juga yang bertanya kenapa saya masih bersama UMNO walaupun telah keluar parti. Saya keluar UMNO bukan sebab saya tidak sayang UMNO tapi keluar untuk terus memperjuangkan hak Sabah. Jika saya masih dalam UMNO, saya tidak boleh bercakap dengan bebas. Saya bukan katak… saya bebas… saya tidak lompat… yang lompat Madius Tangau,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.