Tidak Benarkan Pemegang PSS Ke Semenanjung Bukti Ia Tidak Selamat – Rahman

KIMANIS, 14 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, kerajaan Persekutuan sepatutnya membenarkan pemegang Pas Sementara Sabah (PSS) untuk ke Semenanjung jika kerajaan negeri benar-benar ingin melaksanakannya.

Jelas beliau, tindakan kerajaan menghadkan pergerakan pemegang PSS hanya di Sabah membuktikan bahawa tindakan melaksanakan pas itu sebenarnya tidak selamat.

“Kita mahu supaya pemegang kad PSS ini dibenarkan untuk ke Semenanjung mencari kerja dan tinggal di situ, kerana ia adalah dokumen rasmi.

“Sepatutnya Semenanjung juga perlu berkongsi beban masalah pendatang asing ini dengan rakyat Sabah. Kenapa dihadkan kepada negeri Sabah sahaja? Ini bukan masalah Sabah tapi ini masalah negara. Adakah Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia?” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Menjawab tuduhan kononnya BN memainkan isu PSS hanya kerana mahu menutup kelemahan BN yang gagal membawa pembangunan di Sabah Rahman berkata, rakyat boleh menilai dengan baik siapa yang telah membawa banyak perubahan kepada Sabah.

“Kita faham Warisan baru dua tahun memerintah jadi tak mungkin universiti dibina dalam tempoh itu, tak mungkin jalan raya terbina dalam tempoh itu tapi yang kita minta hanyalah sekeping kertas hala tuju untuk Sabah.

“Takkan sekeping kertas hala tuju mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan?” bidasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.