PSS: Apa Agaknya Tajuk Berita Jika Ketua Wira Warisan Lantang Tegur Timbalan Menteri KDN, Sinis Rahman

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata jika Datuk Mohd Azis Jamman sebagai Ketua Wira Warisan Sabah benar-benar memperjuangkan kepentingan Sabah, beliau sepatutnya lantang menegur dirinya, juga sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia terutamanya bila Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan keputusan tegas melarang pemegang Pas Sementara Sabah (PSS) dari memasuki tanah Semenanjung Malaysia.

Soal Ketua UMNO Bahagian Tuaran itu, apakah agaknya bunyi tajuk berita apabila mereka ‘berdua’ bertemu.

Dalam satu hantaran di Facebook, Abdul Rahman juga menampilkan kemungkinan-kemungkinan yang timbul apabila ‘kedua-duanya’ bertemu bagi membicarakan perkara berkaitan.

1) Datuk Azis Jamman, Ketua Wira Warisan Sabah hairan kenapa Datuk Azis Jamman, Timbalan Menteri KDN Malaysia tidak mahu mengiktiraf PSS di semenanjung, sedangkan PSS adalah dokumen undang undang yang rasmi yang dikeluarkan oleh KDN dan kerajaan pusat sendiri?

2) Datuk Azis Jamman, Ketua Wira Warisan Sabah bertanya kepada Datuk Azis Jamman, Timbalan Menteri KDN Malaysia apakah KDN mengaku bahawa pemegang PSS masih dianggap berisiko tinggi sehinggakan semenanjung mesti dilindungi dari kehadiran pemegang PSS?

3) Datuk Azis Jamman, Ketua Wira Warisan Sabah mengingatkan Datuk Azis Jamman, Timbalan Menteri KDN Malaysia bahawa KDN tidak perlu lagi bersusah payah mencari jalan untuk mendapatkan ratusan ribu pekerja asing dari negara lain yang jauh jauh untuk bekerja di semenanjung. Ambil saja pemegang PSS yang berlambak di Sabah ini untuk bekerja di semenanjung, selesai masalah Sabah dan Malaysia!

4) Datuk Azis Jamman, Ketua Wira Warisan Sabah menuntut Datuk Azis Jamman, Timbalan Menteri KDN Malaysia supaya benar-benar memperjuangkan kepentingan Sabah dengan membenarkan pemegang PSS berada di semenanjung kerana pemegang PSS sudahpun diberi kebenaran untuk tinggal secara sah di Malaysia.

5) Datuk Azis Jamman, Ketua Wira Warisan Sabah kemudian bertanya kepada Datuk Azis Jamman, Timbalan Menteri KDN Malaysia, bukankah Sabah adalah sebahagian dari Malaysia dan oleh itu dokumen udang-undang persekutuan sepatutnya sah di seluruh Malaysia?

6) Datuk Azis Jamman, Ketua Wira Warisan Sabah seterusnya mengingatkan Datuk Azis Jamman, Timbalan Menteri KDN Malaysia bahawa PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin) adalah masalah negara Malaysia dan bukannya masalah Sabah sahaja.

7) Datuk Azis Jamman, Ketua Wira Warisan Sabah menegur keras Datuk Azis Jamman, Timbalan Menteri KDN Malaysia supaya jangan lupa dalam konsep federalisme (persekutuan), berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Takkan untung minyak dan gas mahu dikongsi, tapi masalah PATI Sabah tanggung sendiri? – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.