PRK Kimanis: Pilih Calon Yang Boleh Bawa Suara Rakyat Ke Parlimen

KIMANIS, 14 Jan – Ketua Pembangkang merangkap Naib Presiden UMNO Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat hanya boleh memilih seorang sahaja wakil rakyat dalam pilihan raya maka pilihlah individu yang boleh membawa suara rakyat sehingga ke Parlimen.

Jelas beliau, sekiranya tersalah pilih maka suara rakyat Sabah akan terus sunyi dan segala permasalahan tidak akan dibangkitkan di Parlimen.

“Dalam pilihan raya kita tidak ada pilihan, hanya boleh pilih satu sahaja yang bakal mewakili rakyat. Jadi kita kena pilih berdasarkan keyakinan terhadap individu yang mampu membawa suara rakyat di peringkat Parlimen.

“Sabah memerlukan suara dalam parlimen karana banyak isu Sabah yang perlu diperjuangkan. Kalau dulu Datuk Bung Mokhtar bersama dengan Datuk Seri Anifah yang bersuara dan membawa isu MA63 tapi sekarang tinggal Bung seorang.

“Dia tidak mampu berseorang diri… yang melompat tidak lagi bersuara… yang sudah melompat itu, apa sahaja kata ‘atuk’ dia ikut. Atuk cakap A, A la dia… kalau kita pilih satu lagi yang sebelah sana, tentulah yang baru ini pun tidak akan bercakap bagi rakyat negeri Sabah,” ujar beliau ketika berucap dalam program ceramah perdana sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis di PDM Membakut, malam tadi.

Tambah Ismail, kerana itulah, rakyat Kimanis perlu memilih calon yang boleh membawa suara rakyat Sabah.

“Baru-baru ini dalam Parlimen bila kerajaan membentangkan pindaan Perlembagaan, kita tolak Perlembagaan tersebut… mereka fitnah kita. Mereka kata kita tolak Perlembagaan tersebut kerana tidak mahu MA63 diteruskan di Sabah. Bila pindaan Perlembagaan itu dibawa, kita bangun dan minta kerajaan pinda semula Perlembagaan tersebut, masukkan satu ayat sahaja iaitu masukkan MA63 tetapi mereka tolak. Yang mereka buat pindaan adalah memberi kategori antara negeri Sabah dan Semenanjung.


“Kita kata tidak cukup, pindaan itu tidak membawa apa-apa kepada Sabah, kalau setakat letak ketegori A dan B, ia menurunkan taraf Sabah yang sebelum ini sama rata dengan Semanjung, tiba-tiba jadi kategori B.

“Kita yang berjuang untuk pastikan MA63 dilaksanakan tapi orang sebelah sana menentang. Sebab itu kita perlukan suara tambahan untuk rakyat Sabah, kita perlukan Ahli Parlimen Sabah yang berani bersuara,” ujar beliau lagi.

Ujar Ismail lagi, hampir dua tahun Warisan memerintah, tidak ada apa yang dilakukan oleh mereka di Sabah selain asyik menyalahkan kerajaan lama.

“Baru-baru ini Shafie Apdal mengatakan Sabah mundur kerana kegagalan kerajaan BN. Siapa yang jadi menteri Pembangunan Luar Bandar itu? Shafie… dia lupa, yang gagal itu bukan kerajaan BN, yang gagal itu adalah Shafie.

“Datuk Najib lantik orang Sabah untuk bawa pembangunan di Sabah. Saya difahamkan lebih RM30 bilion duit yang ada untuk diagih-agihkan kepada seluruh negeri termasuk di Sabah tapi tidak ada apa-apa.

“Kita lihat banyak pembohongan mereka. Janji satu juta kerja kosong, bukan satu juta peluang baru tetapi pembuangan kerja hampir setiap hari… harga minyak akan diturunkan, mereka kata kalau malam ini diumumkan menang, dalam masa 24 jam kita turunkan harga minyak menjadi RM1.50, turun ke harga minyak? Tidak turun, lagi naik adalah. Mereka kata rakyat susah kerana GST, mereka kata kalau perkenalkan SST harga barang akan turun, adakah harga barang turun? Tidak ada… terus meningkat lagi adalah,” bidas beliau.

Katanya lagi, sebenarnya yang turun adalah harga komodi, harga pasaran saham dan juga elaun untuk pekebun, petani dan nelayan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.