PH: Rule Of Law’ Bertukar Menjadi ‘Rule Of The Jungle’ – Ismail Sabri


KUALA LUMPUR, 14 Jan – Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa ‘Rule of Law’ kini bertukar menjadi ‘Rule of the Jungle’.

Katanya, selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan, rakyat tertunggu-tunggu reformasi sistem perundangan di Malaysia seperti yang dijanjikan di dalam manifesto dan kempen Pakatan Harapan (PH), malah rakyat mengharapkan yang lebih baik kerana kerajaan PH sebelum ini sentiasa menyalahkan kerajaan lama di dalam mempertahankan ‘Rule of Law’.

“Namun harapan rakyat meleset malah mereka lebih teruk apabila mencabuli undang-undang secara terbuka.

“Sebagai contoh, tindakan Peguam Negara menggugurkan kes-kes pemimpin PH seperti kes Lim Guan Eng yang digugurkan daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo, juga kes LTTE iaitu menggugurkan pertuduhan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dap Seremban Jaya iaitu P. Gunasekaran,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bidasnya, Peguam Negara juga bertindak campur tangan dalam kes kematian Muhammad Adib yang sedang dalam inkues sehinggakan pihak mahkamah memutuskan bahawa Peguam Negara telah menghina mahkamah, malah kes Adib masih tergantung tiada kesudahan.

“Manakala dalam kes kapal Equinimity, Peguam Negara melantik peguam luar atas ketidakupayaannya mengendalikan kes tersebut dengan bayaran upah guaman sebanyak RM2 Juta yang ditanggung oleh kerajaan.”

Tegas beliau yangbjuga Naib Presiden UMNO, kes video Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali pula Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak mendakwa mana-mana pihak dalam kes video seks sejenis walaupun video-video tersebut tulen, malah terdapat pengakuan dari Haziq bahawa beliaulah pelaku bersama Datuk Seri Azmin Ali, namun alasannya pengecaman wajah tidak dapat dipastikan.

“Selain Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga dilihat mengamalkan ‘Rule of the Jungle’. Ini kerana tiada tindakan dikenakan ke atas kesalahan pilihan raya melibatkan PH di bawah akta kesalahan pilihan raya walaupun berpuluh-puluh laporan kesalahan pilihan raya dilakukan.

“SPR juga cuba perkenalkan peraturan yang bertentangan dengan akta kesalahan pilihanraya seperti mengenakan permit untuk kempen ziarah kasih dan rumah ke rumah walaupun akhirnya ditarik balik hasil campur tangan Peguam Negara.”

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak adil dan melakukan pendakwaan berpilih.

“Mereka yang masih di dalam UMNO mendapat notis untuk penyitaan harta namun yang telah ‘melompat keluar’ dari UMNO walaupun pada mulanya terdapat dalam senarai, telah digugurkan oleh SPRM. Manakala audio rakaman kononnya suara Datuk Seri Najib Razak dengan pegawai tinggi kerajaan dan pemimpin luar negara didedahkan dalam sidang media terbuka walaupun kes sedang berjalan.

“Tindakan Ketua Pengarah SPRM dikritik oleh hampir semua pengamal undang-undang termasuk dari majlis peguam. Tindakan ini boleh dianggap sebagai ‘sub judice’.

“Ketua Pengarah SPRM sepatutnya tahu bahawa jika SPRM mahu mengemukakan keterangan baru, maka pihak pendakwa perlu mendapatkan kebenaran mahkamah dan rakyat sudah tidak yakin dengan kemampuan undang-undang negara mengawal hak kerahsiaan peribadi.”

Malah katanya, intipan perbualan telefon antara pemimpin negara kita dengan negara luar merupakan tindakan yang sangat tidak beretika dan boleh mengeruhkan hubungan diplomatik antara kedua negara.

“Terbaru, tangkapan ADUN Dengkil yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral iaitu berjudi dan positif dadah. Rakyat tidak yakin dia akan dihadapkan ke mahkamah. Mungkin Peguam Negara akan umum bahawa pihak Peguam Negara tidak akan mendakwa ADUN tersebut kerana ‘laporan polis tidak jelas dan terlalu kabur’.

“Rakyat sebenarnya tidak yakin kepada sistem perundangan di Malaysia ketika ini.

Pemegang kuasa yang bertanggungjawab terhadap kedaulatan undang-undang menodai undang-undang di bawah kawalan mereka tanpa bersembunyi lagi,” tegasnya lagi yang juga Ahli Parlimen Bera. – UMNO ONLINE