Kes Serbuan Acara ‘Private Party’, Percaya ‘Rule Of Law’ Ditegakkan – Rizam

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail berkata sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor beliau merasa terkejut dengan penahanan ADUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah selepas didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah kondominium di jalan Puchong, pagi semalam namun percaya bahawa ‘rule of law’ sentiasa digunapakai.

Jelas beliau, Pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) berhak menjalankan siasatan secara terperinci, telus dan berintegriti berdasarkan apa jua kes yang membabitkan jenayah.

“Sebagai ADUN bukan kerajaan Negeri Selangor dan Ketua Pembangkang Selangor, saya menyerahkan kepada pihak polis supaya dapat menjalankan siasatan secara terperinci, telus dan berintegriti kerana saya percaya dengan konsep ‘rule of law’ iaitu seseorang itu tidak bersalah hingga dibuktikan bersalah di mahkamah.

“Dalam perbahasan di dewan negeri yang lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari juga ada menyentuh isu penyalahgunaan dadah dan beliau sangat tegas dalam perkara ini untuk memastikan negeri Selangor bebas dari masalah penyalahgunaan dadah,” katanya kepada UMNO-Online, di sini.

Dalam pada itu Rizam yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Selangor turut merujuk penahanan ADUN tersebut yang diberi kenyataan oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor.

“Saya merujuk kenyataan Datuk Abdul Rashid Asari yang merupakan Pengerusi BERSATU Selangor dan beliau sendiri mengesahkan bahawa ada tangkapan telah dibuat oleh pihak polis.

“Saya ingin memberi ingatan kepada pemimpin dan rakan dalam pembangkang supaya tidak sesekali terjebak dalam kes penyalahgunaan dadah dan teruskan usaha untuk pastikan suara rakyat terus terbela.

“Sudah pasti rakyat hari ini pandai menilai pemimpin mana yang mereka mengharapkan demi memperjuangkan nasib mereka,” ujarnya.

Media tempatan semalam melaporkan seorang ADUN adalah antara 17 individu yang ditahan polis dalam operasi di sebuah kondominium di Jalan Puchong, Kuala Lumpur, pada awal pagi Isnin, dan hasil ujian air kencing mendapati ada antara mereka yang ditahan positif dadah. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.