Bekas Ketua PDM Warisan Kuala Pos Keluar Parti, Sertai BN

KIMANIS, 14 Jan – Jentera Warisan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Pos menerima tamparan hebat apabila bekas Ketua PDM kawasan berkenaan, Lomon Pendokor bersama 40 yang lain mengambil keputusan meninggalkan parti berkenaan dan berhijrah kepada Barisan Nasional (BN) petang tadi.

Kemasukan mereka diraikan dalam satu majlis yang diadakan di PDM Kuala Pos.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menerima kemasukan Lemon dan rakan-rakan yang lain.

Lemon Pondokor yang sebelum ini merupakan bekas Ahli Jawatankuasa Bahagian Warisan Kimanis mengambil keputusan berkenaan setelah hilang kepercayaan kepada pimpinan parti yang dilihat tidak peka kepada rakyat di negeri berkenaan.

“Pada hari ini saya mengisytiharkan keluar daripada Warisan kerana kepimpinan Warisan tidak boleh dipercayai lagi. Hari ini seramai 40 orang bersama saya dan saya percaya dengan 40 orang ini akan membawa keluarga, rakan-rakan dan yang lain.

“Saya percaya ada lagi mereka yang lain akan menyusul dan saya menyertai BN ini tidak ada paksaan mahupun habuan sebaliknya atas kerelaan hati saya dan saya telah sedar Pas Sementara Sabah (PSS) perlu ditolak. PSS ini memudaratkan keselamatan khususnya di Sabah,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata langkah berkenaan bukan sahaja memberikan semangat kepada parti malah akan menambahkan undi.

“Hari ini kita menerima kemasukan beramai-ramai Lomon Pendokor, seorang bekas Ketua PDM Warisan serta rakan-rakan lain menyertai perjuangan BN.

“Kita tidak paksa dan saya pun baru sahaja berjumpa dengan mereka petang ini dan kita tidak berunding serta memaksa. Dengan rela hati mereka merasakan bahawa mereka tidak ada lagi harapan untuk bergantung kepada Warisan dan menyokong BN,” ujarnya.

Sementara itu Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang merupakan MT angkat kepada PDM berkenaan mengalu-alukan langkah yang telah diambil oleh bekas Ketua PDM Warisan berkenaan.

“Kami berasa amat gembira setelah berhari-hari di sini dan kita dapat tambahan sokongan dan harapan kita sebelum ini undi Kuala Pos ini menang 43 undi. Harap selepas ini boleh menang ratusan undi dengan perkembangan yang berlaku pada hari ini.

“Kami selaku tuan rumah bersama pimpinan BN setempat mengalu-alukan sokongan mereka terhadap BN dan mudah-mudahan akan terus berjaya pada 18 Jan ini dan mengekalkan kemenangan BN di Kimanis,” tambahnya. – UMNO-Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.