Apa Sudah Jadi? SPR Dikecam Tidak Telus Dan Berhasrat Pasang Kamera Di Pusat Mengundi

KIMANIS, 14 Jan – Apa sudah jadi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)? Sudahlah ‘pejam mata’ dengan kesalahan demi kesalahan akta pilihan raya yang dilakukan oleh Warisan, kini mahu memasang kamera video di semua saluran mengundi pada hari pengundian pula.

Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah mengecam tindakan SPR yang mahu memasang kamera tersebut di 68 saluran mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis ini kerana ia boleh merosakkan amalan demokrasi.

Pengerusinya Ir. Abd Aziz Julkarnain berkata, SPR sepatutnya bersikap telus dan berkecuali dalam mengendalikan pilihan raya.

“Kami Pemuda BN memberi amaran kepada SPR untuk bersikap telus. Kami tidak mahu pengundi Kimanis ini ditakut-takutkan kononnya kerajaan melihat mereka memangkah siapa pada hari mengundi.

“Maka SPR harus batalkan hasrat untuk memasang kamera ini kerana ia akan menjadikan demokrasi di negara ini musnah,” ujar beliau dalam satu sidang media hari ini.

Selain itu, Pemuda BN juga menyelar SPR dan pihak polis kerana gagal mengambil tindakan sewajarnya terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh parti Warisan dalam PRK ini.

“Harus diingat PRK Kimanis ini terjadi kerana kesalahan SPR itu sendiri semasa PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) yang lalu. Jadi kami meminta agar SPR dan polis dapat berlaku adil kepada kedua-dua pihak yang bertanding dan memohon ketelusan SPR dalam mengendalikan PRK Kimanis ini agar demokrasi pilihan raya dapat dilaksanakan menurut perundangan yang telah ditetapkan.

“Sudah ada bukti malah kami juga telah membuat laporan polis tetapi malangnya Pemuda kami yang dirakam keterangan seperti orang yang bersalah malah telefon bimbitnya juga mahu dirampas,” bidas beliau.

Untuk rekod, antara kesalahan yang dilakukan oleh Warisan adalah memberi hadiah cabutan bertuah pada hari penamaan calon, menurunkan bahan kempen BN sambil disaksikan oleh pemimpin Warisan dan jamuan makan kepada pengundi ketika berkempen. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.