Undilah BN, Mohamad Alamin Terus Laung Tekad Perjuangkan Hak Rakyat Sabah

KIMANIS,13 Jan – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin terus melaungkan tekad untuk memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah khususnya di Parlimen Kimanis.

Berucap sepentas pada program yang turut disertai Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan juga bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandau, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Datuk Moh turut menghargai jasa yang telah dilakukan oleh ahli parlimen sebelum ini.

“Kita sama-sama menghargai jasa Datuk Seri Anifah Aman sebagai seorang yang cukup lama dan banyak jasa beliau dalam parlimen Kimanis ini… tak mungkin kita akan lupakan.

“Dan Insya-Allah jika saya diberikan mandat oleh pengundi sebagai Ahli Parlimen yang mewakili Kimanis ini, saya akan menjadi seorang wakil rakyat yang sebaik sepertimana Datuk Seri Anifah,” katanya.

Katanya lagi segala perjuangan ahli parlimen sebelum ini yang telah disuarakan di dalam parlimen antaranya memperjuangkan hak-hak negeri dan rakyat Sabah akan terus menjadi keutamaan dan akan terus diperjuangkan.

“Mudah-mudahan kerja kuat tuan-tuan dipermudahkan dan memberikan kemenangan kepada BN,” katanya lagi. – UMNO Online