PRK Kimanis: Naik ‘Billboard’ Berbaur Fitnah Bukti PH-Warisan Makin Terdesak

KIMANIS, 13 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, Pakatan Harapan (PH) yang diwakili Parti Warisan dilihat sudah semakin terdesak di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis kerana gagal menjawab isu yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN).

Jelas beliau, kerana itulah mereka mula menaikkan ‘billboard’ gergasi berbaur fitnah bagi mengelirukan rakyat.

“Di PRK ini soal pembangunan hampir tidak boleh dimainkan oleh mereka kerana apa sahaja yang dilihat adalah hasil buah tangan BN. Jadi mereka menaikkan ‘billboard’ kononnya UMNO dan BN menolak Sabah dijadikan Wilayah.

“Bila mereka memainkan isu ini, ternyata ia adalah satu pembohongan. Apa yang ditolak oleh Ahli Parlimen pembangkang sewaktu pembentangan pindaan Perlembagaan di Parlimen bukanlah tidak mahu Sabah diletakkan sebagai satu Wilayah tetapi cara mereka hanya mengubah satu perenggan kepada dua perenggan.

“Apalah maknanya dua perenggan itu… kita tidak mahu ada pindaan Perlembagaan yang hanya setengah masak. Pembangkang mahukan satu pindaan yang lebih matang yang refleksi kepada kehendak rakyat Sabah dan Sarawak, bukannya hanya sekadar meminda nama Sabah Sarawak dari satu perenggan ke satu perenggan yang lain,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Rahman, pembangkang tidak mahu sejarah berulang lagi apabila Perlembagaan dipinda tanpa ada iltizam yang kuat daripada kerajaan untuk satu pelan perancangan.

“Apa yang kami mahu adalah apa tindakan seterusnya dan apa maknanya jika Sabah dan Sarawak dipisahkan dari perenggan tersebut. Contoh, adakah bajet Persekutuan akan dibahagi kepada dua Wilayah?

“Ini yang kami mahu tahu dan bukannya sekadar menukar satu perenggan kepada dua perenggan,” bidas beliau.

Justeru, Rahman menyeru agar Pengerusi SPR turun sendiri dan melihat kesalahan demi kesalahan yang dilakukan oleh Warisan di PRK Kimanis ini.

“Jangan nanti sampai satu tahap, terpaksa diadakan PRK lagi di Kimanis ini,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.