Pihak Lawan Terus Bermain Wayang, PH-Warisan Tandus Isu

KIMANIS, 13 Jan – Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin melihat pihak lawan iaitu Pakatan Harapan (PH) melalui Parti Warisan tidak ada isu dan bermain wayang berhubung kemasukan ahli ke dalam parti itu.

Mengambil contoh bagaimana kononnya Pusat Daerah Mengundi (Bandau) ditutup, beliau menjelaskan apa yang berlaku adalah sebaliknya dan PDM itu tidak ditutup.

“Apabila tidak ada isu kerja mereka sekarang buat wayang. Tengok video ada. Pergi ke rumah bawa bendera BN, ambil baju BN dua tiga orang pakai baju Warisan, tetapi kita tahu itu orang Warisan juga.

“Sebelum ini mereka dakwa PDM Bandau juga bubar. Itu sebab saya gagahkan datang ke PDM Bandau untuk lihat betulkah PDM Bandau sudah bubar… mana ada. Tidak ada. Kita beritahu mereka… di PDM Bandau bukan lagi bubar tetapi bertambah kuat,” katanya ketika berceramah di PDM Bandau, semalam.

Bung Mokhtar seterusnya mempersoalkan jika pihak lawan mendakwa UMNO parti Malaya, bagaimana pula dengan mereka.

“Kalau di Semenanjung kerajaan PH dan di sini Warisan. Sama sahaja dua kali lima. Mereka tuduh kata UMNO parti Malaya, mereka pula parti apa. Dap bersama mereka, PKR bersama mereka,” ujarnya.


Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman dalam ucapannya turut menyangkal dakwaan serta fitnah yang dilontarkan oleh pihak tertentu berhubung kempen pada PRK tersebut.

“Fitnah yang mengatakan saya tidak bersungguh-sungguh berkempen untuk BN. Tuan-tuan… kalau ada seorang hamba Allah di dunia ini yang paling mahu melihat Warisan tumbang sayalah… kepada rakyat di Kimanis tugas kita satu sahaja iaitu kita undi nombor satu,” tambahnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.