PH-Warisan Tak Buat Apa-apa, Hanya Tahu Tuding Jari Salahkan BN, UMNO – Tok Mat

KIMANIS, 13 Jan – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata hampir dua tahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, termasuk di Sabah menerusi kerajaan PH-Warisan, mereka tidak buat apa-apa yang seharusnya mereka lakukan.

Sebaliknya jelas beliau mereka hanya pandai menuding jari dan menuduh yang bukan-bukan terhadap BN selain tidak nampak apa pelan pembangunan yang mereka ingin bawa.

“PRU-14 dah lama berlalu dan hampir dua tahun mereka menjadi kerajaan, baik di pusat mahupun kerajaan PH-Warisan di Sabah tetapi apa yang jelas mereka tidak buat apa-apa sebagai sebuah kerajaan. Apa yang mereka lakukan selama ini ialah menuding jari… apa yang mereka lakukan ialah menuduh yang bukan-bukan terhadap BN.

“Rakyat tidak mahu dengar itu… rakyat mahu dengar apa yang dilakukan oleh kerajaan PH baik di semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak. Apa pelan pembangunan di Sabah, apa pelan pembangunan di Malaysia yang boleh dilihat oleh rakyat tetapi malangnya mereka yang menjadi menteri terutama di pusat tidak ada langsung wawasan.

“Menteri-menteri yang menjadi anggota jemaah kabinet amat tidak berfungsi. Itu sebab baru-baru ini sudah keluar seorang… menteri besar di Johor satu tahun disuruh berhenti. Inilah kerajaan yang pandai menabur janji, kerajaan yang naik memfitnah BN, UMNO dan rakan-rakan di dalam BN tetapi tidak oleh berfungsi dan tidak boleh melakukan lebih baik daripada kerajaan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah bersama Pengerusi BN Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin; bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman dan pimpinan lain.

Tambah Mohamad apa yang dapat dilihat hari ini projek-projek yang diusahakan oleh kerajaan BN seperti Balai Bomba Kimanis mereka mengatakan mereka yang buat atau mereka membatalkan projek-projek.

Tambahnya lagi, lihat lebuh raya (Pan Borneo) yang unik dan begitu bermakna kepada Sabah dan Sarawak terbengkalai dan tidak ada apa-apa perubahan sejak selepas PRU.

“Jika BN, kita punya rancangan Pan Borneo ini akan siap penghujung tahun depan tetapi sekarang ini nampak terbengkalai. Maka rugilah kita penduduk di Kimanis kerana dengan adanya Pan Borneo ini akan terbukalah kawasan ini. Hasrat bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Panglima Anifah Aman untuk menjadikan Kimanis ini sebagai kawasan pembangunan dan sebagainya memang susah untuk dicapai jika keadaan jalan raya masih begini.

“Kalau di semenanjung tidak ada apapun yang mereka buat tetapi hanya kerja menuding jari terhadap Datuk Najib, ini kerajaan BN, ini UMNO… tidak boleh buat kerja, sedangkan ekonomi negara, pentadbiran negara sepatutnya diuruskan dengan baik.

“Hari ini apa yang dijanjikan tidak dapat ditunaikan. Jadi, 18 Jan pastikan kita menghantar satu referendum sebagaimana di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan juga di Tanjung Piai yang perlu kita gabungkan dengan Kimanis, iaitu referendum menolak kerajaan PH,” ujarnya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.