Negara Bukan Sahaja Dalam kesedihan, Tetapi Kadang Sukar Dijangka Apa Bakal Berlaku – Razali

KIMANIS, 13 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim berkata negara hari ini bukan sahaja berada dalam kesedihan malah sesuatu yang sukar diramal untuk masa hadapan sedang berlaku sekarang ini.

Menurut beliau selain cerita yang menyeramkan mengenai negara, cerita lain juga seringkali keluar termasuklah soal video dan sebagainya yang mana itu adalah bukan cerita rakyat.

“Tiap-tiap hari cuba kita fikir apa lagi yang mahu diumumkan. Hari ini kita risau apa lagi nak jadi esok. Dulu orang berlumba-lumba datang ke negara kita, kita tidak jemput pun mereka datang.

“Tiap hari kita dengar Datuk Najib ke luar negara balik bawa pelaburan. Hari ini pergi luar negara tiap hari juga tetapi balik bawa hutang,” katanya ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bongawan, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau melihat keyakinan pengundi di Kimanis berada dalam suasana yang cukup luar biasa dan penuh bersemangat untuk memberi kepercayaan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin pada 18 Januari nanti.

Katanya suasana di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) boleh menjadi bukti kepada keadaan berkenaan.

“Pengundi di Kimanis sangat luar biasa bukan setakat hujan pun orang ramai, malah ramai pemimpin yang berucap pun mereka masih dengar dengan penuh semangat dan tekun.

“Bayangkan kalau kita penat sekalipun, bagi yang bertugaslah bila kita tengok pengundi maka penat itu hilang… tidak ada dah… sebab itu malam ini saya seronok dan saya yakin orang di sini tidak ada rasa was-was untuk mengundi siapa pada 18 Jan nanti.

“Cuma kita tidak mahu pengundi kita menjadi macam pengundi mereka yang memilih tanpa tahu apa yang dibuat pemimpinnya, sebab itu kita adakan ceramah hampir tiap malam. Alang-alang kita berkumpul dalam hujan lebat biarlah kita tahu kenapa kita undi. Bukan kita hanya nak hentam dia,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.