Latheefa Koya Mesti Letak Jawatan SPRM, Lebih Baik Berpolitik Dalam PKR – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak Latheefa Koya melepaskan jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysa (SPRM).

Kata Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, desakan tersebut bagi mewakili pungutan suara lebih 105 ribu orang secara rawak di halaman Facebook miliknya pada minggu lalu.

“Lebih 94 peratus responden bersetuju bahawa Latheefa Koya telah membelakangi prinsip kedaulatan undang-undang (Rule of Law) dengan membuat pendedahan rakaman perbualan telefon beberapa individu yang berkaitan dengan kes yang sedang dibicarakan mahkamah.

“Tindakan tersebut diperakui ramai boleh mendatangkan subjudis dan menghina mahkamah yang sedang berjalan,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulas Dr Asyraf, sikap Latheefa juga dilihat bermotifkan politik ketika parti kerajaan begitu terdesak untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis setelah mengalami kekalahan besar di empat PRK sebelum ini.

“SPRM bukan sahaja seharusnya bertindak berkecuali daripada politik bahkan mesti dilihat melangkaui polemik politik kepartian,” bidasnya lagi.

Justeru tambahnya, Pemuda UMNO sekali lagi menyarankan agar Latheefa melepaskan jawatan dan lebih sesuai kembali kepada jawatan asal beliau dalam kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sedang mengalami krisis kepimpinan yang kronik. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.