Tangau Pengkhianat Bangsa Sabah – Shamsudin

KIMANIS, 12 Jan – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong Datuk Shamsudin Yahya berkata, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau adalah seorang pengkhianat kepada bangsa Sabah.

Ujar beliau, dahulu Tangau adalah individu yang begitu lantang bersuara membantah Pendatang Tanpa Izin (PTI) tetapi kini mulutnya terkunci seribu bahasa kerana telah diberi jawatan.

“Saya amat kecewa… dulu Tangau yang kuat membantah PTI tapi sekarang bila sudah diberi jawatan, dia lupa bangsa dan suku sakat sendiri. Dia sanggup bersubahat dan menyiksa rakyat Sabah.

“Sebenarnya Barisan Nasional (BN) tidak kalah di Sabah ini tapi disebabkan si Tangau ini jadi pengkhianat maka BN kalah. Dia pengkhianat kepada rakyat Sabah,” ujar beliau ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kabang malam tadi.

Justeru tambah Shamsudin, PRK ini bukan sekadar soal pilihan raya tetapi ia adalah medan untuk menunjukkan bantahan kepada kerajaan negeri bahawa tindakan mereka menyusahkan rakyat.

“Mereka mahu laksanakan PSS… PSS ini menyusahkan rakyat, PSS ini juga sangat bahaya. Kita tunjukkan kepada rakyat negeri bahawa rakyat Sabah menolak PSS,” tegas beliau.

Kerajaan negeri dijangka bakal melaksanakan PSS pada Jun nanti dan ia mendapat tentangan hebat daripada penduduk Sabah.

Isu PSS menjadi antara topik hangat di PRK Kimanis ini.

PRK Kimanis pada 18 Januari ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dan PH-Warisan.

Dua calon terbabit ialah calon BN, Datuk Mohamad Alamin, 48 tahun dan Datuk Karim Bujang dari Warisan, 66 tahun. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.