Kempen BN Meriah Di Pasar Tamu Pekan Membakut, ‘Radu Tatap Radu’

KIMANIS, 12 Jan – Pasar Tamu Pekan Membakut hari ini dilihat menjadi medan kepada kedua-dua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis apabila masing-masing mengambil kesempatan mengadakan ‘walkabout’ berkempen meyakinkan pengundi untuk memilih calon masing-masing.

Barisan Nasional (BN) meletakkan Datuk Mohamad Alamin ataupun dikenali Datuk Moh sebagai calonnya manakala Parti Warisan pula, Datuk Karim Bujang.

Kelibat kedua-dua jentera yang memasuki pasar berkenaan mengundang perbualan sesama mereka antara pengunjung mahupun peniaga.

Kedengaran masing-masing bertanyakan sesama mereka, “mahu pilih yang mana….kita tunggu 18 Jan nanti.”

Suasana berkempen cukup meriah apabila jentera masing-masing termasuklah Puteri UMNO yang diketuai Datuk Zahida Zarik Khan mengedarkan risalah serta Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammudin dan pimpinan BN yang lain.

Turut kelihatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Md Alwi Che Ahmad selain jentera PAS juga tidak ketinggalan membantu mengedarkan risalah calon BN kepada pengunjung yang mengunjungi pasar berkenaan.

Naib Presiden PAS, Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut meriahkan kempen berkenaan.

Dan pertembungan jentera kedua-dua parti yang bertanding langsung tidak menimbulkan sebarang kekecohan malah cukup mesra dan saling bertegur sapa antara satu dengan yang lain memperlihatkan kempen berjalan secara matang.

Zahida yang ditemui menyifatkan kempen mereka bersama jentera tempatan cukup mesra sekali dan berjalan lancar dah kini memasuki fasa yang seterusnya dalam usaha meraih keyakinan pengundi seramai yang mungkin terhadap calon BN.

“Rata-rata pengunjung serta penjual menyatakan sokongan kepada BN dan mereka juga mengatakan kenal kepada calon yang diketengahkan dan tadi juga kita bertembung dengan jentera Warisan dan kita sama-sama berkempen secara berhemah.

“Ini fasa ketiga kempen kami dan doakan kemenangan kepada BN dan kita nampak ada sinar yang cerah untuk calon kita, Datuk Mohamad Alamin atau lebih dikenali Datuk Moh,” ujarnya.

Sementara itu Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang secara kebetulan turut berkempen di pasar berkenaan menyatakan pada peringkat awal ianya bukan perkara yang mudah dan lebih-lebih lagi sentimen tempatan.

“Saya ingatlah pada peringkat awal… apabila turun dua tiga hari ini saya tengok bahawa sama sahaja aspirasi harapan dan mereka untuk masa depan anak-anak kita, masa depan Sabah.

“Apabila kita berkongsi pengalaman kita yang pahit yang kita terpaksa kita lalui, Lahad Datu saya ingatkan dahulu dalam isu keselamatan..semua itu merupakan sesuatu yang tidak asing kepada kita di semenanjung dan saya rasa lega kerana ianya juga dibicarakan. Ini merupakan sebahagian daripada keluarga besar kita di negara Malaysia,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.