Hak Rakyat Untuk Dapat Peruntukan Kerajaan, Jangan Bimbang Undi BN – Shamsul

KIMANIS, 12 Jan – Mana-mana kerajaan tidak boleh memilih untuk membantu kelompok tertentu sahaja, tegas Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Ujarnya, semasa Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan, pelbagai peruntukan dan bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), tiada tindakan pilih kasih sama ada penerima dimestikan penyokong parti kerajaan sahaja.

“Adakah kita beritahu orang kampung jalan raya ini hanya untuk penyokong BN sahaja…ada…mana ada. Apabila kita buat masjid ada tak kita katakan hanya untuk penyokong BN…tidak ada…

“Sebab apa… kita sebuah kerajaan yang bertanggungjawab membantu dan membangunkan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Diskusi Rakyat sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Membakut.

Turut menjadi ahli panel Ketua UMNO Penampang, Datuk Hasnol Datuk Ayub, Shahrol Shiro, Mak Long dan pimpinan lain.

Tegas Dr Shamsul pengundi di Kimanis tidak perlu bimbang untuk mengundi BN kerana rakyat berhak untuk mendapatkan apa jua peruntukan daripada kerajaan.

“Sebab itu jangan bimbang malah saya nak beritahu kalau diluluskan jalan, kalau diluluskan bantuan kebajikan masyarakat itu bukan duit Pakatan Harapan (PH), bukan duit Warisan…itu duit rakyat…duit rakyat duit kita. Oleh itu kita berhak untuk mendapatkannya,” tambahnya.

Ulasnya lagi kemenangan di Kimanis amat penting untuk memberikan isyarat kepada kerajaan PH dan juga Warisan.

“Kenapa perlu BN menang…kerana kita mahu beri isyarat kepada kerajaan sedia ada hari ini bahawa rakyat sangat marah kerana segala-gala janji tidak dilaksanakan. Hari ini saya nak beritahu bahawa keputusan di Kimanis ini sebenarnya bukan sahaja dinanti oleh rakyat Sabah malah ianya juga dinantikan oleh rakyat seluruh negara.

“Dan juga sedang dilihat oleh masyarakat antarabangsa kerana pelabur, peniaga daripada negara luar yang dulu cukup baik dengan kita, hari ini yang berniaga tidak mahu melabur, hubungan diplomatik, kerana bimbang dengan kerajaan yang ada hari ini. Sebab itu apa pun yang kita buat dan kita bincang pada malam ini niatnya untuk menang,” jelasnya.

Ujarnya lagi tanggungjawab kerajaan mesti bantu dan tolong rakyat, bawa pembangunan, jaga pendidikan dan kebajikan serta kerajaan tidak boleh memilih hanya kelompok tertentu dan kumpulan tertentu sahaja untuk dibantu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.