Tuduhan BN Tidak Melakukan Apa-apa Untuk Laksanakan MA63 Tidak Benar

KIMANIS, 11 Jan – Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah menempelak tuduhan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional Senator Aiman Athirah Al Jundi kononnya Barisan Nasional (BN) tidak melakukan apa-apa untuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sejak lebih 60 tahun memerintah.

Katanya, kerajaan BN telah memulakannya dahulu namun perancangan BN untuk melaksanakan MA63 tergendala selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Kalau tidak tahu fakta dan kedudukan sebenar baik jangan cakap. Sejak Julai 2016 Kerajaan BN telah mengerakkan usaha menjayakan MA63 menerusi sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh pemimpin Sabah dan Sarawak serta beberapa agensi penting yang berkaitan. Jawatankuasa ini dipengerusikan bersama oleh Anifah Aman yang mewakili Sabah dan Nancy Sukri mewakili Sarawak.

“BN telah memulakan langkah bagaimana mahu kembalikan hak Sabah dan Sarawak. Jadi tuduhan kononnya BN tidak lakukan sebarang usaha ke arah melaksanakan MA63 adalah tidak tepat,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Shamsul, Kerajaan PH hanya mahu mendapat nama kononnya hanya mereka yang memperjuang dan mahu melaksanakan MA63 ini sedangkan kalau mahu diluluskan di Parlimen ianya mesti mendapat juga sokongan pembangkang terutama Ahli Parlimen BN.

“Realiti, Warisan tidak serius membantu rakyat Sabah. Dalam keadaan kononnya mahu melaksanakan MA63 mereka bersungguh-sungguh juga mahu melaksanakan PSS yang nyata memberikan keuntungan kepada PATI dan merugikan rakyat tempatan.

“Sebab itu kita kena tolak PH Warisan ini, seperti yang pernah dikatakan oleh Bekas Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman baru-baru ini, satu undi diberi kepada Warisan, ia sama macam kita bagi sebilah pisau untuk menghiris anak cucu-cicit kita di masa akan datang,” tegas beliau.

Shamsul turut mengingatkan para pengundi Kimanis agar jangan bimbang berkaitan pembangunan.

“Walaupun pihak kerajaan PH (Warisan) mendakwa jika mengundi BN rakyat akan rugi kerana tiada pembangunan. Semua itu adalah ugutan sebaliknya membawa pembangunan adalah tanggungjawab kerajaan yang memerintah. Sebagai rakyat kita berhak menikmatinya dan kerajaan tidak boleh menzalimi rakyat.

“BN dulu buat untuk semua, tidak ada pula kita kata hanya untuk pengundi BN sahaja. Jadi jangan terpengaruh kalau undi BN rakyat tidak akan dapat apa-apa. – UMNO ONLINE