Malaysia Lawan Filipina… Saya Tidak Menuduh Dan Langsung Tidak Berniat Jahat – Tok Mat

KIMANIS, 11 Jan – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau bukanlah menuduh dan langsung tidak ada niat yang bermaksud jahat berhubung ucapannya dalam satu ceramah semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Sebaliknya tegas beliau apa yang diungkapkan itu secara berseloroh memanjangkan apa yang telah diperkatakan oleh seorang pakcik pada hari penamaan calon 4 Januari lalu.

“Saya sebenarnya kalau sesiapa ada rakaman video itu…saya adalah. Saya menyatakan secara seloroh pada malam itu bahawa pada pagi penamaan calon itu ada seorang pakcik beritahu saya bahawa “Datuk…pagi ni umpama pasukan Malaysia baju biru itu lawan pasukan Filipina, baju putih.”

“Saya mengatakan apa yang dikata oleh pakcik itu bukannya menuduh sesiapa. Itu sahaja dan tidak ada niat mengatakan yang bermaksud jahat. Saya tidak tuduh dan saya cuma berseloroh memanjangkan apa yang pakcik itu cakap,” katanya kepada media selepas berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Binsuluk, di sini, malam tadi.

Turut berceramah Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Yaakub Khan dan Shahrol Shiro yang turut menggamatkan suasana ceramah.

Dalam perkembangan lain, beliau turut melihat langkah Warisan yang cuba untuk menidakkan bahawa mereka adalah sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah untuk mengelirukan orang ramai semata-mata.

“Kerajaan Warisan di Sabah sekarang ini pun juga merupakan kerajaan campuran antara Dap dan juga PKR dan yang lain-lain. Jadi maknanya Dap dan PKR pun parti daripada semenanjung. Ianya tidak boleh mengatakan Warisan ini tidak ada kena mengena dengan kerajaan PH di semenanjung ataupun tidak kerana kalau kita lihat mereka hanya ada beberapa ahli parlimen tetapi dapat tiga menteri penuh dan dua timbalan menteri.

“Ini jelas menunjukkan bahawa mereka merupakan rakan kongsi kerajaan PH di semenanjung. Kerana mahu mengelakkan daripada dituduh sebahagian daripada kerajaan PH kerana prestasi kerajaan PH amat-amat teruk sekali. Tidak boleh mengurus negara dengan baik. Kalau kita lihat kerajaan PH tidak ada hala tuju langsung, politik tanah air bercelaru dan dasar luar negara saya tidak faham apa dasar luar negara.

“Kalau dulu dasar luar negara ini Malaysia digemari atau didokong oleh masyarakat negara-negara yang membangun kerana kita menjadi ketua kepada negara yang tidak masuk campur hal ehwal dalaman negara hari ini kita dikecam kerana mencampuri negara-negara lain secara terbuka. Itu merupakan satu pantang larang masyarakat antarabangsa dan kalau kita tidak suka kita hantar nota diplomatik. Panggil duta dan itu caranya daripada mengecam secara terbuka,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.