Tuduhan Shafie BN Tidak Bangunkan Sabah Ibarat Meludah Ke Langit…

KIMANIS, 10 Jan – Penceramah bebas Noran Zamini Jamaluddin berkata, tuduhan Ketua Menteri Sabah kononnya Barisan Nasional (BN) tidak membantu pembangunan di negeri Sabah ibarat meludah ke langit, terkena muka sendiri.

Jelas beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Mak Long’, ini kerana Shafie dulunya adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) selama tujuh tahun dan dialah yang bertanggungjawab untuk ‘menjaga’ negeri Sabah ini.

“Shafie lupa dia lama jadi Menteri KKLW. Peruntukan untuk dia lebih kurang RM34 bilion jadi mana duit peruntukan itu dibelanjakan? Ucapan dia konon BN tak bangunkan Sabah macam meludah ke langit… cakap tidak serupa bikin,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Diskusi Rakyat anjuran Penerangan UMNO Malaysia, malam tadi.

Justeru Mak Long berharap agar para pengundi di PRK Kimanis ini tidak tertipu dengan ucapan dan janji PH Warisan keran telah terbukti apa yang mereka katakan hanyalah satu janji manis.

“Pasal PTPTN ni sampai saya malas nak ulas… memang kita kena tipu. Dulu di Semenanjung Rafizi Ramli janji tol tak payah bayar. Dia cakap lepas PH menang tol akan dihapuskan… habis orang kampung terpengaruh, anak muda terpengaruh.

“Hari ini apa jadi? Sebab takut kalah masa di PRK Semenyih, mereka janji lagi nak hapus tol… tapi cuma hapus pukul 11.00 malam sampai 5.00 pagi… siapa lalu tol waktu tu? Habis hantu raya seronok,” sindir beliau.

Tegas Mak Long, ciri-ciri kerajaan sepenggal sememangnya jelas terdapat pada PH-Warisan, maka rakyat Kimanis harus bijak memilih agar tidak lagi terpedaya dengan segala penipuan mereka. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.