Sangkal Cadangan PSS Dimulakan Zaman Kerajaan BN – Zahid

KIMANIS, 10 Jan – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman yang mengatakan cadangan pengeluaran Pas Sementara Sabah (PSS) sudah dimulakan oleh kerajaan terdahulu yang bertujuan antara lain mengkoordinasikan tiga dokumen berbeza oleh tiga agensi yang dilihat menyukarkan pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen membuat penguatkuasaan.

Tegasnya, ketika beliau menjadi Pengerusi kepada Jawatankuasa Pelaksanaan RCI, tidak ada satu pun cadangan dari RCI dan jawatankuasa teknikal supaya PSS diadakan.

“Tuduhan itu tidak benar… saya mengetahui kerana saya jadi Pengerusi yang dilantik oleh jemaah menteri bersama Ketua Menteri ketika itu,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Terdahulu, dilaporkan Mohd Azis memberitahu bahawa kerajaan negeri Sabah pimpinan Parti Warisan hanya meneruskan cadangan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu berkaitan pengurusan warga asing di negeri itu.

PSS dijadual akan mula dilaksanakan pada Jun ini oleh kerajaan negeri Sabah.

Bercakap soal gerak kerja sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pula, Dr. Ahmad Zahid melahirkan rasa kagum dengan gerak kerja yang tersusun oleh UMNO Sabah.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang turut berkampung bagi membantu calon BN di sini.

“Semangat dan gerak kerja disini tersusun… paling saya kagum ialah jentera Kimanis sendiri yang telah berjaya mengatur gerak kerja dan perancangan jentera dengan baik. Saya juga berterima kasih kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) angkat, ketua-ketua bahagian dan semua yang turut membantu.

“Dengan gandingan semua termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri, saya yakin kita akan peroleh kemenangan,” ujar beliau yang juga Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.