PRK Kimanis: Semangat Jentera Makin Meningkat Untuk Kemenangan BN

KIMANIS, 10 Jan – Tempoh berkempen yang memasuki hari ketujuh menampakkan suhu semakin rancak dengan masing-masing jentera kedua-dua parti yang bertanding melipatgandakan asakan dalam usaha meraih seramai mungkin pengundi.

Barisan Nasional (BN) yang meletakkan Ketua UMNO bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin sebagai calonnya turut menggiatkan usaha dengan jentera dari pelbagai peringkat tidak jemu dalam usaha menarik sokongan pengundi.

Ini ditambah pula dengan kehadiran mantan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang turun padang membantu kempen BN bermula semalam, sudah pasti suhunya makin naik.

Bagi Timbalan Ketua UMNO Kimanis, Hj Abd Rahman Abd Wahid melahirkan kesyukuran kerana secara keseluruhannya jentera parti bergerak lancar dengan masing-masing memainkan peranan tersendiri.

“Alhamdulillah. Secara keseluruhannya semangat jentera kita ‘tip top’ dan mereka setiap hari amat bersemangat. Tambahan lagi dengan kedatangan Datuk Seri Anifah yang turut turun berkempen maka makinlah naik semangat mereka.

“Penerimaan masyarakat terutama pengundi amat baik dan setiap hari makin meningkat. Kami yakin pengundi akan berpihak kepada BN. Jentera kita bergerak dari rumah ke rumah dengan suasana berkempen berjalan lancar dan teratur,” katanya kepada UMNO-Online.

Sementara itu Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kg Pimping, Cikgu Kasim Hj Buntak melahirkan rasa syukur kerana apa yang dirancang berjalan lancar dan jentera pula berada pada tahap yang amat membanggakan.

“Kita di Kg Pimping cukup mantap. Apabila Datuk Seri Anifah umumkan beri sokongan kepada kita ternyata di kawasan saya, jauh meninggalkan pihak lawan dari segi sokongan dan sebagainya.

“Jentera pula Alhamdulillah… masuk separuh tempoh berkempen ini terus meningkat dan akan terus meningkat. Kami gembira kerana jentera bertugas dengan rela hati. Bahkan antara mereka ada diantaranya sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri dari sudut pengangkutan dan sebagainya lagi. Inilah semangat kita,” ujarnya.

Tambahnya kalangan pengundi muda pula nampaknya menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada calon BN walaupun pada satu ketika golongan ini antara yang terpengaruh dengan isu-isu yang dimainkan.

“Atas dasar kesedaran dalam situasi semasa hari ini pada PRK Kimanis ini orang muda nampaknya melihat bahawa apa yang diperkatakan oleh kerajaan itu janji semata-mata. Lantaran itu orang muda rata-rata sinonim dengan perkataan ubah balik. Begitu juga dengan golongan kumpulan lain, insya-Allah,” tambahnya.

Dalam pada itu bapa angkat Pusat Daerah Mengundi Bandau, Timbalan Ketua UMNO Batu Sapi, Zantapa Zainal Abidin turut bersemangat dengan apa yang ditunjukkan dan dilaksanakan oleh jentera setempat.

“Kami daripada UMNO Batu Sapi yang menjadi bapa angkat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandau membantu gerak kerja jentera setempat. Alhamdulillah… semangat jentera dilihat makin meningkat dan mudah-mudahan terus bertambah.

“Semua jentera bergerak dengan lebih telus. JR bekerja keras pagi dan petang berjalan mengesan pengundi putih dan semangat mereka dilihat cukup kental,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.