Nafi Terlibat, Tindakan Latheefa Koya Dikecam… Dangkal, Menjijikkan – Khairul Azwan

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Tindakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya yang telah mengadakan sidang media pada 8 Jan lalu berhubung perbualan telefon antara Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor. terus dikecam.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun yang turut dinamakan dalam pendedahan tersebut telah menafikan dengan sekeras-kerasnya terlibat dalam urusan 1MDB dan SRC dalam apa cara jua pun.

“Antara lain, telah menamakan saya dalam pendedahan beliau yang dibuat berdasarkan andaian berhubung perbualan telefon antara Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.

“Saya menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa saya kononnya terlibat dalam sebarang bentuk konspirasi seperti yang dinyatakan di sidang media itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam hal ini, beliau juga merujuk kepada kenyataan media rasmi oleh Presiden Majlis Peguam Malaysia, Abdul Fareed Abdul Gafoor semalam, yang telah menyatakan pendirian mereka secara jelas tidak seiringan dengan tindakan pendedahan dan andaian yang dibuat oleh Latheefa Koya.

“Saya mengecam dengan sekeras-kerasnya Sidang Media oleh Latheefa Koya ini dan tindakan Latheefa Koya tersebut adalah tindakan yang dangkal dan menjijikkan.

“Sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan bekas peguam, Latheefa Koya sepatutnya sedar bahawa tindakan beliau dalam mendedahkan rakaman perbualan-perbualan telefon tersebut adalah bercanggah dengan kedaulatan undang-undang (rule of law).

“Malah, tindakan beliau itu amat mengaibkan serta menjejaskan reputasi saya.”

Terangnya, kenyataan dan andaian yang dibuat oleh Latheefa Koya di sidang media itu adalah tindakan drama politik murahan beliau semata-mata.

“Saya mendesak kerajaan Malaysia Baharu untuk segera memperbetulkan kerosakan intergriti dan kredibiliti yang berlaku dalam SPRM serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap badan penguatkuasa bebas ini semula.

“Oleh yang demikian, bagi menjaga imej serta intergriti SPRM daripada terus tercemar disebabkan tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh Latheefa Koya, saya mendesak agar beliau dengan serta mertanya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Malah, tanpa prejudis terhadap kenyataan saya di perenggan ini, saya dengan ini menyeru semua ahli-ahli Parlimen untuk merujuk Latheefa Koya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen kerana telah merosakkan kredibiliti dan nama baik SPRM.”

Dalam hal ini juga, beliau memaklumkan telah mengarahkan peguamnya, Datuk M Reza Hassan, untuk menasihati berkenaan haknya yang wujud di bawah undang-undang. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.