Isu PSS: Sebuah Pengkhianatan Dan Penderhakaan Yang Terancang – Bung

KOTA KINABALU, 10 Jan – Pas Sementara Sabah (PSS) sudah ibarat duri dalam daging dan pasir masuk ke mata, tegas Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bidasnya, sikap berdolak-dalik pentadbiran Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam hal ini amat memualkan dan mengundang kemarahan meluap-luap rakyat Sabah.

Katanya lagi, kenyataan bercanggah sama ada boleh atau tidak dokumen ini digunakan kelak sebagai asas permohonan kewarganegaraan, ternyata mengundang polemik berbanding penjelasan serta begitu juga dengan angka Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang terlibat yang berbeza-beza diberikan mengundang lebih banyak persoalan berbanding jawapan.

“Ironinya, pemimpin Kadazan-Dusun-Murut (KDM) yang kononnya memperjuangkan hak anak negeri Sabah, ternyata mempunyai lidah bercabang dua.

“Mereka begitu bersemangat mahu mempertahankan hak anak negeri, tetapi pada masa yang sama lebih mesra PATI hingga sanggup menggadaikan keselamatan dan kedaulatan negeri.

“Kenyataan beberapa pemimpin asal KDM seperti Darrel Leiking dan Wilfred Madius Tangau hanyalah menyimbah lagi petrol ke dalam api yang sedang bernyala,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ulas Ahli Parlimen Kinabatangan itu, ternyata mereka itu mahu memperbodohkan rakyat Sabah dengan menyokong Warisan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P176 Kimanis.

“Mereka harus menyedari dan menginsafi bahawa, satu undi untuk Warisan bererti satu undi untuk PSS dilaksanakan. Inilah satu pengkhianatan tahap tertinggi kepada negeri ini. Warisan begitu teruja dan bersungguh-sungguh mahu melaksanakan PSS sehingga menimbulkan lebih banyak persoalan di kalangan rakyat. Kegelojohan Azis Jamman mengeluarkan kenyataan juga mengundang persepsi bahawa dia sengaja diletakkan di Kementerian Dalam Negeri dengan agenda tertentu.

“Malah Azis Jamman lebih kerap memberi jaminan mulut bahawa pemegang PSS tidak akan dibenarkan memohon warganegara Malaysia. Beliau lupa siapa dirinya. Beliau hanyalah Timbalan Menteri Dalam Negeri dan jaminan mulutnya tidak laku sama sekali.

“Rakyat sudah semakin matang dan cerdik tentang apa yang berlaku. Azis Jamman tidak mampu menjelaskan rasional PSS, apalagi mampu mempertahankan dasar. Apa Azis Jamman boleh buat sebagai Timbalan Menteri? Soalnya lagi.

Tambah Bung juga, rakyat Sabah bukan lagi mudah terbelit dengan penjelasan separuh masak Warisan dan UPKO.

“Apa gunanya slogan ‘Sabah Kita Punya’? Sedangkan keutamaan Warisan dan UPKO hanyalah mahu menguruskan PATI kononnya. Rakyat Sabah lebih memerlukan perhatian dan pembelaan.

“Dengan tiga menteri penuh dan dua timbalan menteri di peringkat pusat, Warisan gagal melindungi hak rakyatnya sendiri, malah mengutamakan PATI yang tidak termaktub langsung hak mereka baik di sisi Perlembagaan Persekutuan mahupun Undang-Undang Tubuh Negeri Sabah,” katanya.

Bung turut menimbulkan persoalan apakah istimewanya PATI di mata parti pemerintah negeri itu.

“Apalah sangat yang mahu diurus oleh Warisan dalam kes PATI ini? Mereka bukanlah golongan istimewa yang wajib dihampar dengan permaidani merah.

“Selain IMM13, pemegang Kad Burung-Burung dan Kad Bancian hendaklah ditangkap dan dihantar pulang kerana keberadaan mereka adalah secara tidak sah dan melanggar undang-undang imigresen di negara ini.

“Status kedua pemegang kad ini bukanlah suatu kebenaran untuk menetap, bekerja dan bergerak bebas di bumi Sabah. Malah, hanya bertujuan bagi tujuan pengesanan dan bancian sahaja,” katanya lagi.

Kerana itulah tegas Bung, keberadaan PATI sebenarnya mengundang lebih banyak masalah sosial, ekonomi, keselamatan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain lagi.

“Ketidakpedulian dan ketulian pentadbiran Warisan dalam hal ini memberi persepsi bahawa PSS itu merupakan agenda tersembunyi bagi menjamin survival politik sebuah parti di bumi Sabah.

“Sedangkan masih banyak agenda pembangunan dan masalah harian rakyat Sabah yang tidak diberi perhatian sepenuhnya oleh Warisan. Kelewatan dan gendala projek Pan Borneo yang sepatutnya diberi keutamaan, seolah-olah pekak dan tuli kepada Warisan.

“Kenaikan berterusan kos sara hidup, masalah air bersih, bekalan elektrik, perumahan rakyat, peluang pekerjaan, bantuan sara hidup golongan miskin, petani dan nelayan, juga gagal menarik minat pentadbiran Warisan,” bidasnya lagi.

Seterusnya jelas Bung, kini rakyat Sabah telah sedar pembohongan dan ketidakupayaan Warisan mentadbir negeri.

“Tidak timbul kerajaan ini masih baharu atau tidak. Rakyat sudah biasa selesa menikmati pelbagai nikmat pembangunan dan bantuan daripada sebuah kerajaan yang mesra rakyat.

“Rakyat tidak biasa dengan pentadbiran yang mesra PATI,” ujarnya.

Justeru itu katanya kerajaan sepenggal mungkin bakal menjadi kenyataan buat Warisan dan PRK Kimanis mungkin menjadi titik permulaan yang buruk buat Warisan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.