Wee Jeck Seng Bantu Kempen Datuk Moh, Semangat Tg Piai Hangatkan Kimanis

KIMANIS, 9 Jan – Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jack Seng yang baru sahaja memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan November tahun lalu turut tidak ketinggalan menghangatkan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang akan diadakan pada 18 Januari depan.

Kedatangannya ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Membakut ternyata membangkitkan semangat jentera parti dan penduduk setempat yang terus melaungkan ‘Radu Tatap Radu’ ‘Radu Sampai Rata’ dan salam 15,000.

Dalam ucapan awalnya, Wee mengucapkan terima kasih kepada jentera daripada Sabah yang turut membantu jentera Barisan Nasional (BN) ketika beliau menjadi calon pada PRK kawasan berkenaan.

Meneruskan ucapannya beliau berkata PRK Kimanis ini bukanlah soal mahu menukar kerajaan sebaliknya untuk memilih calon parlimen.

“Kita menang atau kalah mereka tetap kerajaan tetapi mesti ingat kebijaksanaan dan kekuatan kita penting sebagai pembangkang. Kalau kita memberikan signal yang silap pada PRK ini maka mereka akan beranggapan orang-orang di Kimanis setuju dengan apa yang kerajaan buat.

“Maka tidak perlulah bincang dan teruskan apa yang dirancang oleh mereka. Soal bantuan dan sebagainya lagi macam mana. Jadi yang penting mesti kita mesti tolak mereka dengan mengundi calon nombor satu, Datuk Mohamad Alamin supaya penduduk di Kimanis dapat menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan sedia ada,” katanya ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Membakut, di sini, malam tadi.

Turut berceramah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, serta pimpinan setempat.

Tegas Wee apa yang penting sekali Datuk Mohamad Alamin mampu membawa suara rakyat Kimanis dan rakyat Sabah keseluruhannya.

“Dan penting sekali calon kita akan mampu membawa suara rakyat Sabah. Kita tuntut supaya antaranya lebuhraya Pan Borneo siap sepertimana dalam jadual. Jangan lagi berikan pelbagai alasan dan sebagai sebuah kerajaan jangan sekadar cakap. Kerajaan ada tanggungjawabnya. Cukup-cukuplah dan jangan bagi peluang untuk mereka ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.