SPRM ‘Unprecedented’, Tidak Menepati Standard Profesionalisme – Tok Mat

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mempersoalkan profesionalisme, wibawa dan integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengadakan sidang media mendedahkan rakaman audio mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semalam.

Katanya, SPRM sewajarnya bertindak dengan menyerahkan segala bukti baru berkaitan 1MDB kepada pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Pendedahan apa jua bukti kepada umum seperti yang berlaku ini adalah ‘unprecedented’. SPRM mesti bertindak secara profesional dan apa yang dilakukan adalah tidak menepati standard profesionalisme yang dikehendaki,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu tersebut.

Tegasnya, pendedahan perbualan ketua negara dengan sorang pemimpin negara asing adalah perkara kerahsiaan yang sangat penting dan ia tidak wajar didedahkan dengan sewenangnya tanpa melalui proses undang-undang.

“Pendedahan ini akan pasti mengundang masalah dengan Kerajaan UAE. SPRM sewajarnya memahami kepentingan untuk Malaysia tidak berkonflik dengan mana-mana negara dalam usaha kita mencari kebenaran berkaitan skandal IMDB.

“Polis mesti melakukan siasatan terperinci tentang pendedahan bukti baru ini agar hak, kepentingan dan keadilan dapat dicapai.”

Katanya, pendedahan yang telah dilakukan tersebut seperti mensabitkan nama-nama mereka yang terlibat sebagai bersalah dan menimbulkan prejudis yang sangat mendalam terhadap mereka.

“SPRM adalah institusi awam yang mesti menjalankan tugasnya secara berpelembagaan dan penuh wibawa.

“Apa yang dilakukan hari ini telah menyebabkan profesionalisme, wibawa dan integriti SPRM dipersoalkan.”

Semalam Ketua SPRM, LatheefaKoya dalam sidang media memaparkan perbualan Najib, isteri beliau, Rosmah Mansor dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad; dan bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim. – UMNO ONLINE

Oleh: Farhana Malek

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.