Saya Pilih BN… Yang Dahulu Lebih Bagus Dari Kerajaan Sekarang – Alex Raja Lawak

KIMANIS, 9 Jan – Di celah-celah kehangatan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Alex Raja Lawak tidak ketinggalan untuk bersama-sama dengan pengundi kawasan berkenaan untuk memilih Ahli Parlimen Kimanis pada 18 Januari depan.

Ditemui UMNO Online di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kabang, beliau yang akan membuang undi di Sekolah Kebangsaan Kayau, menyatakan tanpa segan silu bahawa dirinya sudah ada pilihan sendiri untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin pada hari pembuangan undi nanti.

“Calon BN ada pengalaman daripada sudut undang-undang. Jadi Datuk Moh yang saya undi nanti. Sekarang ini ada faktor tolakan dan tarikan. Tolakan sekarang kerajaan yang ada hari ini. Segala janji yang mereka bagi tidak dapat ditunaikan.

“Jadi dalam sistem demokrasi kita boleh pilih yang lain. Untuk itu kali ini saya akan pilih BN. Ini kali kita mahu tunjuk yang siapa yang tipu… yang tidak mahu tunaikan janji maka kita pindah pergi yang satu lagi,” katanya di PDM Kabang.

Alex seterusnya menambah pengundi seharusnya memilih parti yang boleh melaksanakan janji dan bukannya sekadar berjanji.

“PH sudah janji tetapi apabila sudah menjadi kerajaan tidak dapat menunaikannya. Jadi setakat ini yang saya nampak lebih bagus kerajaan dahulu daripada sekarang. Kalau kembalikan yang macam dahulu pun saya rasa ok… jadi saya pilih BN.

“Yang dulu banyak dapat bantuan…. potong elaun itu dan ini. Kebanyakan orang muda rasa bimbang… apa lagi yang mahu dipotong… apa lagi yang mahu dimansuh. Jadi rasa bimbang itu sentiasa ada.

“Dulu kita nampak setiap kali bajet apa bantuan yang diberikan… apa yang kita akan dapat. Itu yang saya gembira. Peluang pekerjaan apabila ekonomi merudum suasananya tidak menggalakkan peluang pekerjaan. Buat ‘business’ sendiri pun susah. Saya mahu macam dahulu ekonominya berjalan dan orang ada duit untuk berbelanja,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.