Saya Akan Teruskan Perjuangan Anifah Untuk Rakyat – Datuk Moh

KIMANIS, 9 Jan – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin bertekad untuk meneruskan perjuangan mantan ahli parlimen sebelum ini, Datuk Anifah Aman dalam memperjuangkan hak-hak Sabah dan rakyat di Kimanis.

“Insya-Allah tadi saya bersama Datuk Anifah dalam ceramah perdana di Bongawan… insya-Allah jika saya ditakdirkan menang dan menjadi ahli parlimen saya akan meneruskan perjuangan Datuk Anifah dalam memperjuangkan hak-hak Sabah dan rakyat Kimanis ini.

“Insya-Allah… kita hantar satu mesej yang jelas dan keras kepada kerajaan pada hari ini betapa rakyat sudah menderita akibat kelemahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan juga Warisan di negeri Sabah. Jadi penting kita kena betulkan nawaitu kita, bulatkan tekad kita sama-sama kita kempen habis-habisan dan tolak parti Warisan pada 18 Januari depan,” katanya dalam ucapan ringkas di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Membakut, di sini, malam tadi.

Turut berceramah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohmad; Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jack Seng serta pimpinan setempat.

Mohamad yang turut dikenali dengan panggilan Datuk Moh seterusnya menambah suasana berkempen semakin rancak dan penerimaan rakyat juga memberangsangkan untuk memenangkan BN.

“Pagi tadi jalan pergi rumah ke rumah di PDM Kabang, semalam juga sama ziarah dari rumah ke rumah dan jumpa rakyat, insya-Allah ‘mood’ dan semangat rakyat sudah bersedia untuk memenangkan BN.”

“PRK ini adalah PRK cukup penting. PRK ini bukan soal Datuk Moh lawan Datuk Karim Bujang tetapi PRK ini soal rakyat Sabah dan rakyat Kimanis harus kita perjuangkan. Kita tahu banyak isu-isu yang telah disuarakan oleh rakyat dan inilah masanya,” ujar beliau.

Sementara itu, Saarani berkata rakyat sudah boleh menilai kerajaan hari dan akui bahawa menukar kerajaan bukanlah seperti menukar baju sebab menjadi kerajaan ini adalah untuk mentadbir negara dan negeri bukannya mudah.

“Ada orang kata bagi peluang sekali… kalau kami tidak bagus tukar balik… ubah balik. Sekarang telah terbukti setelah lebih 18 bulan menghampiri dua tahun terbukti kerajaan PH bukan tandingannya kepada kerajaan BN.

“Telah terbukti kerajaan PH sangat teruk… walaupun ada kelemahan dalam pemerintahan BN tetapi tidak seteruk sepertimana hari ini. Harga barang tinggi, harga getah jatuh, sawit, banyak projek yang dibatalkan, banyak projek yang dikurangkan. Mereka gagal. Rakyat hari ini sudah boleh menilai.

“Kalau dulu mereka kata kalau kami gagal ubah balik, maka di PRK Kimanis ini kita guna slogan itu, mereka gagal dan kita mahu ubah balik,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.