PRK Kimanis: Orang Muda Jangan Salah Pilih Lagi, Cukuplah Susahkan Orang Tua

KIMANIS, 9 Jan – “Nasihat saya kepada orang muda jangan lagi salah pilih. Cukuplah kamu kali pertama sudah salah. Jangan menyusahkan orang tua lagi, di kampung ini bukan orang senang, semua orang susah,” luah Zaiton Awang Sabtu, 67, yang merupakan pengundi Binsulok, di sini.

Jelasnya, disebabkan anak muda percaya dengan janji Pakatan Harapan (PH) yang diwakili Parti Warisan di Sabah maka kini orang yang benar-benar memerlukan bantuan terpaksa gigit jari.

“PH-Warisan bila sudah menang janji tinggal janji… orang muda juga jadi kecewa tapi yang jadi mangsa kami orang tua.

“Bukan saya mahu memuji Barisan Nasional (BN) tapi BN dulu kalau berjanji, dalam tempoh seminggu sudah ditunaikan tapi Warisan kalau berjanji tidak tahu bila mahu tunai. Tunggulah bila mahu sampai,” bidasnya.

Zaiton adalah antara pengundi di Parlimen Kimanis yang kecewa dengan anak muda ekoran terpedaya dengan janji PH pada PRU-14 lalu.

Akibat daripada sikap anak muda yang terlalu mahukan perubahan, akhirnya kehidupan rakyat makin terhimpit.

“Antara pentadbiran BN dan Warisan, terlalu banyak perbezaan. Sekarang ini banyak bantuan yang telah tiada.

“Di kampung nelayan ini, bantuan yang diberikan, pula terlalu pilih kasih. Sudahlah banyak bantuan dipotong, pilih kasih pula… ini semua makin membebankan,” luahnya lagi.

Untuk rekod, PRK Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman ketika PRU-14 sebagai tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya tersebut, sekaligus menjadikan ia PRK ke-10 selepas PRU-14.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Parlimen P176 Kimanis diadakan pada 18 Januari 2020. Penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari manakala tarikh mengundi awal ialah pada 14 Januari. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.