Pengundi Kimanis Bakal Tolak PH, Tunjuk Keberanian Undi BN 18 Jan – Khaled

KIMANIS, 9 Jan – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yakin pengundi di Parlimen Kimanis berani untuk menunjukkan keberanian dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan 18 Januari depan.

Menurut beliau semua pihak meletakkan harapan yang cukup tinggi kepada mereka untuk menunjukkan isyarat dan satu signal buat kerajaan sedia ada bahawa Pakatan Harapan (PH) gagal sebagai sebuah kerajaan.

“Kami letakkan harapan tinggi kepada pengundi Kimanis. 18 Jan jangan fikir benda lain. Pasang satu niat. Niat kita tidak lain tidak bukan… niat kita pada 18 Jan nanti Datuk Mohamad Alamin akan menjadi wakil rakyat Parlimen Kimanis.

“Kita yakin pengundi Kimanis memang berani untuk tunjukkan kepada kerajaan sedia ada bahawa mereka gagal sebagai kerajaan. Soal mereka tipu tidak tunaikan janji itu bab lain tetapi mereka memang telah gagal untuk laksanakan tanggungjawab dan amanah untuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mmebakut di sini, malam tadi.

Turut berceramah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohmad; Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jack Seng serta pimpinan setempat.

Khaled seterusnya menjelaskan UMNO Sabah mempunyai keistimewaan yang tersendiri setelah diberikan autonomi.

“Walaupun UMNO itu diwujudkan di Semenanjung tetapi kita memberi keistimewaan dan melihat Sabah ini sebagai satu parti dengan kedudukannya yang istimewa. Atas sebab itulah kita beri autonomi negeri Sabah.

“UMNO Sabah boleh menentukan keahlian, wakil rakyatnya boleh menentukan kerjasama dengan mana-mana parti yang lain demi kepentingan negeri Sabah. Itu autonomi yang kita beri. Apa pun yang mereka kata yang penting peluang untuk pengundi menilai prestasi kerajaan yang sedia ada sudah terbuka luas. Kalau kita menangkan BN saya pasti, mereka akan berdepan yang cabaran yang mendesak,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.