Beri Kepercayaan Kepada Datuk Moh Bawa Suara Rakyat Di Parlimen – Zahid

KIMANIS,9 Jan – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak pengundi di Parlimen Kimanis agar memberikan kepercayaan kepada calon BN, Datuk Mohamad Alamin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan 18 Januari depan untuk kepentingan rakyat Kimanis dan Sabah itu sendiri.

Menurut beliau dengan kepercayaan tersebut, suara ahli parlimen BN daripada Sabah akan bertambah yang mana hari ini hanya Datuk Seri Bung Mokhtar Radin seorang.

“Sekarang ada 41 ahli parlimen BN dan hanya seorang ahli parlimen daripada Sabah yang mewakili BN, Datuk Seri Bung Mokhtar. Suara Datuk Seri Bung lantang memperjuangkan hak rakyat Sabah di parlimen.

“Jangan tinggalkan Datuk Seri Bung keseorangan diri. Suara rakyat Sabah mesti didengar dengan lantang di parlimen. Oleh yang demikian kalau Datuk Mohamad Alamin atau lebih dikenali Datuk Moh menang maka suara rakyat Sabah akan bertambah seorang lagi di dewan rakyat,” katanya dalam program Ramah Mesra di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bongawan, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO seterusnya menambah banyak perkara yang akan dibawa oleh Datuk Moh jika diberikan kepercayaan termasuklah soal Pas Sementara Sabah (PSS) serta apa yang terkandung di dalam Perjanjian MA63.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan walaupun UMNO Sabah diberikan autonomi, rakan-rakan daripada semenanjung turut membantu kempen BN pada PRK Parlimen Kimanis.

“Kita tidak pernah tinggalkan kawan jika kawan itu dalam keadaan susah… kita turun berikan bantuan dan sokongan moral untuk berkempen sebab apa… nasib orang Kimanis harus dibela, nasib orang Sabah harus dibela kerana hak-hak Sabah harus dikembalikan kepada rakyat Sabah,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.