‘Radu Tatap Radu’, Calon BN Tetap Bersemangat Biarpun ‘Diganggu’ Ketika Berkempen

KIMANIS, 7 Jan – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Datuk Mohamad Alamin tetap bersemangat meneruskan kempen dengan menyeru kepada semua jentera agar jangan sesekali gentar atau takut dengan sikap ganas yang sudah dimulakan pihak lawan.

Jelasnya, beliau turut diganggu ketika berkempen dengan kenderaannya ditahan di PDM Batu Enam semalam.

“Jadi kita harus fokus dengan gerak kerja, jangan gentar dan takut. Saya telah menerima beberapa laporan bahawa pihak lawan sudah mula gunakan kekerasan malah kenderaan saya sendiri ditahan di Batu Enam.

“Mereka cuba menghalang… tapi kita jangan takut. Radu tatap radu,” ujar beliau ketika berucap dalam program ramah mesra bersama jentera di PDM Mawao malam tadi.

Tambah Mohamad, sebenarnya pihak lawan sudah panik dan begitu terdesak apabila melihat sokongan yang diberikan pengundi kepada BN.

“Ingat, kita jangan lari fokus… sekarang ini pun mereka telah menabur macam-macam habuan. Di ‘kasi’ ambil tapi undi tetap BN,” tegas beliau.

PRK Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman ketika PRU-14 sebagai tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya tersebut, sekaligus menjadikan ia PRK ke-10 selepas PRU-14.

Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti 156 undi.

Beliau memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail menerima 1,300 undi.

Kerusi P176 Parlimen Kimanis merangkumi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Membakut dan Bongawan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.