UMNO Sebuah Keluarga Besar, Alu-Alukan Semangat Untuk Kemenangan BN – Bung

KIMANIS, 6 Jan – Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menyifatkan dakwaan yang mengatakan kuasa autonomi yang diberikan kepada UMNO negeri berkenaan ‘tercemar’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis merupakan dakwaan yang tidak benar sama sekali.

Menurut beliau UMNO merupakan sebuah keluarga besar dan sesiapa sahaja yang ingin membantu kemenangan BN ianya adalah satu langkah yang amat dialu-alukan.

“Kita tidak bernaung di bawah bayang-bayang tetapi sebagai sebuah keluarga besar daripada mana sekali pun kita alu-alukan. Mereka yang becakap soal ini mungkin lupa… depan mereka ada Dap dan PKR. Daripada mana parti berkenaan,” katanya ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bongawan, di sini, malam tadi.

Turut berceramah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bung yang juga Pengerusi BN Sabah seterusnya mengajak pengundi di Parlimen Kimanis agar membuat pilihan tepat dengan memilih serta memberikan kepercayaan kepada Datuk Mohamad Alamin pada 18 Januari ini.

“Kalau nak ubah balik inilah peluang kita. Kalau bukan di Kimanis di mana lagi, kalau bukan kita siapa lagi. Kta harus ada keyakinan, ikatan serta kepercayaan dalam perjuangan. Sama-samalah kita berjuang untuk mencapai kejayaan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas