Tuduh BN… Shafie Lupa Tujuh Tahun Jadi Menteri KKLW Tapi Tak Jaga Sabah – Ismail Sabri

KIMANIS, 6 Jan – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan tuduhan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal kononnya Barisan Nasional (BN) meminggirkan pembangunan di Sabah.

Ujar beliau, Shafie mungkin lupa bahawa dirinya menjawat jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) selama tujuh tahun dan sekiranya Sabah tidak membangun maka itu adalah kesilapannya sendiri.

“Saya agak terkejut apabila Shafie mengatakan kerajaan persekutuan yang dipimpin BN dulu mengabaikan Sabah dari segi pembangunan sedangkan dia mungkin lupa bahawa tujuh tahun dia jadi menteri di KKLW.

“Jadi dia sendiri yang tak bangunkan Sabah, bukannya BN. Masa dia jadi menteri, duit berbilion di tangan dia… yang tak jaga rakyat Sabah waktu itu Shafie.

“Dia tak jaga rakyat Sabah, dia tak belanja untuk Sabah, dia belanja hanya di Semporna, itu pun orang Semporna pertikai, banyak projek diberi pada kroni,” ujar beliau kepada media selepas berkempen sempena PRK Kimanis di PDM Membakut, malam tadi.

Shafie ketika berkempen di Kimanis mendakwa BN telah sekian lama mengabaikan negeri itu daripada arus perdana pembangunan negara.

Oleh itu, pada PRK Kimanis ini, beliau mengajak pengundi menolak calon BN Mohamad Alamin yang disifatkannya berhati UMNO Kuala Lumpur.

PRK kali ini menyaksikan kerusi yang sebelum ini diisi oleh Anifah Aman akan direbut calon Warisan, Karim Bujang, dan calon Mohamad.

SPR menetapkan 18 Jan ini untuk hari pengundian, manakala pengundian awal empat hari sebelum itu. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.