PRK Langgar Undang-undang, Ismail Sabri Cabar Bersih Turun Ke Jalanan Tuntut Pilihan Raya Telus

KIMANIS, 6 Jan – “Saya cabar Bersih untuk turun ke jalanan dengan baju kuning mereka. Kalau dulu Bersih 5, sekarang buat Bersih 6, kita akan sokong,” ujar Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ujar beliau, sejak pilihan raya kecil yang pertama lagi (semenjak PH ambil alih pucuk pimpinan negara), pelbagai kesalahan Akta Pilihan Raya dilakukan oleh kerajaan tetapi tidak ada satu pun tindakan yang diambil.

“Terima kasih kepada Bersih kerana membuat teguran kepada kerajaan yang melanggar Akta Pilihan Raya di Kimanis ini tetapi tidak cukup dengan teguran. Kalau waktu BN dulu mereka berarak di jalan raya dengan baju kuning dan sebagainya, saya menunggu-nunggulah untuk Bersih berarak semula di jalan raya dengan baju kuning mereka kerana beberapa pilihan raya lepas sudah jelas bahawa pihak kerajaan melanggar undang-undang.

“Sejak siri pilihan raya kecil, pelbagai laporan polis dibuat, saya ingat sudah beratus dibuat tapi kita tidak nampak satu pun tindakan daripada pihak kerajaan termasuk dari SPR.

“Saya berharap Bersih juga buat laporan polis… kenapa dulu mereka mahukan pilihan raya bersih sehingga mereka sanggup berarak di jalan raya, sekarang saya cabar Bersih supaya berarak di jalan raya dengan baju kuning mereka,” ujar beliau kepada media selepas program ‘walkabout’ di perkampungan nelayan Binsulok.

Selain itu Ismail turut membidas kenyataan Perdana Menteri yang meminta semua pihak supaya tidak berasa ‘iri hati’ dengan orang kaya kerana golongan tersebut mempunyai sumbangan tersendiri dalam bentuk cukai yang dibayar kepada kerajaan, dan ia dijadikan dana untuk mentadbir negara.

“Mereka nak kaya… kayalah tapi jangan kacau orang miskin. Orang miskin perlu dijaga, jangan kita jaga orang kaya kerana dia bayar cukai yang menjadi punca pendapatan negara tapi orang miskin diketepikan… dipinggirkan.  Nasib orang miskin mesti diberi keutamaan oleh kerajaan.

“Saya harap kerajaan akan memberi perhatian kepada masalah rakyat termasuk nelayan. Kalau BN menguasai semula, kita berjanji akan mengambil berat masalah nelayan seperti yang kita lakukan dulu,” ujar beliau lagi yang juga Naib Presiden UMNO. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.