Pembangunan Sabah: Satu Jari Shafie Tuding BN, Empat Jari Tuding Diri Sendiri – Tok Mat

KIMANIS 5 Jan – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan melihat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal menuding jari terhadap dirinya sendiri berhubung dakwaan ketiadaan pembangunan di negeri berkenaan.

Ini kerana menurut beliau, Shafie merupakan Ahli Parlimen daripada Sabah yang paling lama duduk menganggotai kabinet kerajaan persekutuan dan enam tahun terakhir sebelum pilihan raya umum ke-14 beliau adalah menteri yang diberi tanggungjawab menjaga hal ehwal dan pembangunan luar bandar dan wilayah.

“Kementerian ini merupakan kementerian yang mempunyai belanjawan peruntukan kedua terbesar. Enam tahun jadi menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, RM16 bilion peruntukan yang kementerian beliau dapat.

“Beliau buat apa… saya malas nak cakap tetapi memang saya katakan bahawa beliau tidak menjalankan tugas semasa menjadi menteri. Hari ini boleh pula mengatakan BN tidak melaksanakan tugas, tidak menjalankan tanggungajawab… meludah ke langit kena muka sendiri.

“Beliaulah yang tidak menjalankan tugas, tidak menjalankan tanggungjawab sebagai menteri yang ditugaskan menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak. Sekarang pandai-pandai tuding jari. Satu jari tuding empat terkena ke muka sendiri,” katanya ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bongawan, di sini, malam tadi.

Turut berceramah Pengerusi BN Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin.

Mohamad seterusnya menambah, bercakap soal kemajuan sabah, Shafie dilihat mengakui kelemahan dirinya sendiri.

“Sekarang dah jadi Ketua Menteri… memang idaman dia nak jadi ketua menteri… dah dapat jadi ketua menteri binalah Sabah,” ujarnya.

Tambah Mohamad sekarang ini mereka berjanji lagi sedangkan janji Pilihan Raya Umum ke-14 belum lagi ditunaikan.

“Hari ini orang muda dah mula marah. Kalau dulu peti undi saluran muda memang kita takut, tetapi kerana kecewa dengan janji yang tidak ditunaikan oleh kerajaan PH yang tidak ada harapan, semua janji PTPTN, hutang Felda tidak buat, macam-macam tidak buat hari ini orang muda dah marah.

“Bermula daripada Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan juga di Tanjung Piai saluran muda inilah yang memberikan kemenangan majoriti yang besar kepada BN. Tahniah kepada orang muda. Orang muda dah bangun.

“Justeru kepada semua, mari kita sambung gelombang semangat daripada Cameron Highlands, di gunung kita dah tawan, di bandar Semenyih kita dah tawan, di luar bandar di Rantau kita dah tawan, di hujung benua tepi laut kita telah pukat dengan jaring dan sekrang kita buktikan di Kimanis dan kita bawa semangat ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.