Ketua PDM Nafi Ahli Keluar UMNO, Taktik Terdesak Warisan

KIMANIS, 6 Jan – Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Enam, Kasman Taha menafikan yang kononnya seramai 111 ahli UMNO di empat cawangan di PDM Batu Enam telah bertindak meninggalkan parti UMNO dan menyertai Warisan.

Jelas beliau, berita yang menjadi tular itu sebenarnya adalah satu taktik kurang bijak dan terdesak oleh para pemimpin Warisan.

“Apa yang mereka cuba gambarkan ini hanyalah satu taktik kotor bagi kelirukan rakyat. Warisan sebenarnya tertekan kerana melihat rakyat semakin hilang kepercayaan kepada mereka.

“Jadi mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi meraih sokongan rakyat. Sebenarnya, ramai pengundi di Batu Enam ini kecewa dan menyesal kerana telah tersalah pilih,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Kasman, Warisan semakin panik apabila melihat kemarahan rakyat kepada mereka dalam isu Pas Sementara Sabah (PSS).

“Ingin saya tegaskan bahawa tidak ada ahli UMNO di PDM Batu Enam yang meninggalkan UMNO dan menyertai Warisan kecuali Normayani (individu dalam gambar yang tular tersebut) dan beberapa orang ahli keluarganya.

“Saya diberitahu bahawa Normayani sebelum ini telah mengutip nama dan nombor kad pengenalan beberapa orang secara rambang dan yang lainnya di diambil pada naskah senarai ahli
UMNO tanpa pengetahuan individu berkenaan. Senarai itulah telah diserahkan kononnya menyertai Warisan.

“PDM Batu Enam mempunyai 12 cawangan UMNO dan semua ahlinya masih setia kepada perjuangan UMNO,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.