PRK Kimanis: Tambah Wakil Rakyat Pembangkang Di Parlimen Bawa Suara Orang Sabah – Khairy

KIMANIS, 5 Jan – Pengundi di Parlimen Kimanis diingatkan agar dapat memberikan kepercayaan dan seterusnya mengangkat calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin ke Dewan Rakyat dalam usaha menambahkan lagi suara yang akan membicarakan hak dan kepentingan rakyat Sabah.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu 6, di sini malam tadi berkata kemenangan BN akan menambah bilangan suara pembangkang di parlimen memandangkan yang ada hari ini hanyalah Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Raden.

Kita mahu pilih wakil rakyat yang boleh berkhidmat untuk rakyat di Kimanis. Saya tidak mahu cakap buruk tentang orang lain tetapi jika dibuat perbandingan calon kita Datuk Mohd Alamin pernah jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan. Ini calon yang kita mahu. Beliau masih ada tenaga dan orang muda untuk bekerja terhadap rakyat di Kimanis.

“Kita perlu suara pembangkang daripada Sabah. Sekarang tinggal Datuk Seri Bung yang bangun untuk Sabah. Yang lain semua ada tetapi apabila sudah jadi ahli parlimen kerajaan, tangan sudah terikat, mulut sudah gam. Nak cakap lebih tidak boleh.

“Jadi siapa mahu cakap… Datuk Bung boleh cakap tetapi hari ini kita tengok Datuk Bung kesian. Tiap hari kena pergi Mahkamah. Kalau Datuk Bung tidak ada di parlimen kerana terpaksa pergi nahkamah siapa mahu cakap untuk rakyat Sabah tidak lain tidak bukan Ahli Parlimen Kimanis.

“Kalau tidak Sabah ‘bisu’ tidak ada suara. Ada rakan-rakan lain tetapi apabila ‘berhijrah’ maka cakap lebih tidak boleh. Kita perlu ada seorang pejuang, seorang ‘fighter’… tanya kerajaan kenapa lebuh raya Pan Borneo telah dihentikan, kenapa pembinaannya yang dijanjikan siap dalam tempoh masa hari ini nampak tidak ada kemajuan,” katanya.

Katanya lagi Pan Borneo yang dijanjikan Kimanis ke Kota Kinabalau tidak sampai satu jam mesti ada suara dalam Dewan Rakyat yang tuntut supaya Pan Borneo itu disiapkan mengikut jadual.

“Mesti ada suara yang bangun. Tanya pada Timbalan Menteri Dalam Negeri berkaitan PSS… kenapa mengkhianati rakyat Sabah. Wakil rakyat Kimanis mana bantuan untuk petani, mana bantuan untuk orang misikin, mana kos sara hidup yang tidak turun-turun, mana kemajuan ekonomi yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.