Pilih BN Isyarat Tolak Pelaksanaan PSS – Yaakub Khan

KIMANIS, 5 Jan – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Yaakub Khan merayu para pengundi untuk memilih calon parti itu, Datuk Mohamad Alamin pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis 18 Jan ini.

Menurut beliau langkah tersebut sebagai tanda protes rakyat Sabah khususnya di parlimen Kimanis terhadap pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang dibimbangi akan mendatangkan kesan yang sebaliknya kepada penduduk di negeri berkenaan.

“Masalah besar akan berlaku jika PSS ini dilaksanakan. Pendatang asing tanpa izin (PATI) akan bebas bergerak bebas ke seluruh bumi Sabah dan mereka tidak lagi akan ditangkap kerana ada PSS. Kita akan berkongsi dengan mereka.

“Jadi Kita tunjukkan di Kimanis ini kita kalahkan Parti Warisan dan pastikan calon BN Datuk Mohamad Alamin menang sebagai isyarat kepada mereka rakyat dah mula marah dan benci dengan tindakan kerajaan. Tunjukkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu 6, di sini, malam tadi. Turut berceramah Ketua Penerangan UMNO Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Kata Yaakub lagi yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah apa yang dilontarkan itu bukanlah untuk menakut-nakutkan tetapi untuk mengajak rakyat Sabah terutama di Kimanis sama-sama berfikir ke depan.

“Saya tidak menakutkan tetapi mengajak untuk sama-sama berfikir… keburukan PSS. Saya bercakap yang sangat-sangat penting. Bagaimana nasib anak cucu kita di kemudian hari. Anak cucu kita yang akan menanggungnya nanti.

“Apatah lagi 2o hingga 30 tahun akan datang. Maka sama-sama fikirkan dan saya merayu kepada anda semua saya tidak paksa undi BN tetapi saya merayu fikirkan kalau kita mahu masa depan kita, kita kena berubah dari hari ini. Fikirkan masa depan kita bermula di sini. Bermula di sini…,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.