Kalau Warisan Bukan Sebahagian PH, Mana Mungkin Dapat Tiga Jawatan Menteri…

KIMANIS, 5 Jan – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Warisan adalah sebuah parti yang berpura-pura kononnya mereka bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH).

Jelas beliau, sekiranya Warisan bukan sebahagian daripada PH, bagaimana pemimpin mereka boleh mendapat tiga jawatan menteri penuh dan timbalan menteri.

“Warisan ini main silap mata, main opera cina… wayang kulit. Mereka tahu sentimen di sini tidak suka parti yang ada kena mengena dengan persekutuan maka mereka kata yang Warisan bukan sebahagian daripada PH.

“Kalau bukan sebahagian PH mana mungkin dapat jawatan menteri dan timbalan menteri. Kalau nak ambil hati pun, seorang sudah cukup… ini tiga orang.

“Ini jelas menunjukkan bahawa mereka adalah sebahagian daripada PH tetapi main wayang… sekarang mereka mengatakan mereka bukan daripada PH sebab prestasi PH amat buruk sekali,” ujar beliau kepada media selepas program beramah mesra dengan jentera di PDM Kampung Brunei malam tadi.

Tambah Mohamad, Warisan sebenarnya mahu mengelirukan pengundi di Kimanis ini dengan menunjukkan kononnya mereka adalah parti tempatan.

Semalam, pemimpin Warisan dan UPKO menggesa rakyat Sabah tidak terpengaruh dengan parti yang berpangkalan di semenanjung seperti UMNO dan PAS.

PRK parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.