Yayasan Akalbudi Dahulukan Gaji Tertunggak Bantu Pemain Bola PDRM

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi hari ini berkisar mengenai cek Yayasan Akalbudi bernilai RM1.3 juta kepada Persatuan Bolasepak PDRM.

Tentu ada ingin mengetahui kenapa yayasan itu yang banyak membina dan membaiki pulih masjid dan surau serta memberi bantuan kebajikan termasuk kepada pusat tahfiz, juga menyumbang kepada pasukan bolasepak.

Menurut saksi pendakwaan ke 19, Datuk Zul Hisham Zainal, wang RM 1.3 juta di berikan kepada PDRM untuk tujuan pendahuluan pembayaran gaji pemain-pemain bola sepak PDRM yang sudah 4 bulan tertunggak.

Cek RM1.3 juta itu diberikan kepada Pasukan Bola Sepak PDRM pada November 2015, ketika baki akaun pasukan itu hanya ada RM1,980.65 sahaja pada 15 November 2015.

Jumlah tersebut disahkan saksi pendakwaan ke 20, Penolong Penguasa Mohd Nizam Mohd Noor yang juga Penolong Setiausaha Pasukan Bola Sepak PDRM.

Dalam keterangannya, Zul HIsham menegaskan bahawa isu gaji pemain-pemain amat kritikal pada November 2015 sedangkan mereka adalah pemain bola sepak sepenuh masa atau pemain profesional.

Mereka dan keluarga masing-masing bergantung sepenuhnya kepada gaji tersebut tambahan pula mereka amat memerlukan perbelanjaan bagi hujung tahun.

Zul Hisham kemudian memohon kepada Zahid Hamidi yang ketika itu Menteri Dalam Negeri untuk mendahulukan wang bagi pembayaran gaji itu.

Sebenarnya, tidak wajid untuk Zahid  mendahulukan wang itu namun atas dasar ehsan dan kebajikan pemain dan keluarga mereka, beliau dahulukan wang Yayasan Akalbudi sesuai dengan penubuhan Yayasan tersebut sebagai sebuah yayasan kebajikan.

Walaupun ada tanggapan sesetengah pihak bahawa perkara ini bias kerana Zul Hisham adalah menantu kepada Zahid, namun, saksi dari PDRM sendiri mengaku bahawa perkara di atas adalah benar.

Menurut Zul Hisham dalam pernyataan bertulisnya, dia mula terlibat secara tidak langsung dengan Persatuan Bola Sepak PDRM sekitar tahun 2014 dan “hanya bertindak di belakang tabir atas dasar minat,” sebelum dilantik secara rasmi sebagai pengurus pasukan itu untuk musim 2017.

Beliau juga bersetuju dengan peguam bahawa Yayasan Akalbudi menerima semula bayaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) berjumlah RM1 juta manakala baki RM300 ribu adalah sumbangan kepada persatuan itu.

Mohd Nizam dalam pernyataannya menjelaskan bahawa wang RM 1.3 juta itu beliau yang minta daripada  Zul Hisham untuk membolehkan Pasukan Bola PDRM ini dapat membayar gaji pemain yang sudah 4 bulan tertunggak.

Katanya, dengan baki RM1,980.65, jumlah itu tidak cukup untuk membayar gaji pemain dan pengurusan pasukan bola sepak PDRM dan bantuan RM 1.3 juta itu adalah untuk kebajikan pemain-pemain bola sepak PDRM.

Malah menjawab soalan, selepas menerima RM1.3 juta, Mohd Nizam mengakui jumlah itu masih tidak cukup untuk membayar gaji pemain-pemain kerana anggaran kos bulanan antara RM500 ribu hingga RM800 ribu. -agendanews

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.